24 Disember 2021, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Cuaca di Malaysia dicirikan dengan dua jenis monsun, iaitu monsun barat daya yang bermula dari akhir bulan Mei hingga bulan September, dan monsun timur laut dari bulan November hingga bulan Mac. Monsun timur laut menyebabkan hujan lebat, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala monsun barat daya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.

Musim monsun timur laut merupakan musim hujan utama di Malaysia. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar.

Berdasarkan hantaran Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, Malaysia diramalkan berlaku luruan monsun, antara hari Isnin hingga hari Khamis minggu depan. Luruan monsun merupakan angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya menyatakan bahawa angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan, termasuklah kawasan perairan pantai timur Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2021 hingga 30 Disember 2021. Selain itu, situasi ini juga berpotensi menyebabkan hujan yang berterusan di Johor Timur, Sabah Timur dan Sarawak Barat dalam tempoh 28 Disember 2021 hingga 30 Disember 2021.

Orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini dan sahih daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir apabila keadaan perlu. Masyarakat harus membuat persediaan awal bagi menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

Untuk maklumat cuaca terkini, klik di sini atau melalui aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.