20 Disember 2021, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hijau bumi suatu ketika dahulu kian hilang pada pandangan mata. Pada masa ini, hanya lambakan sampah sarap, keruhan air sungai dan hakisan tanah disajikan kepada masyarakat akibat tangan rakus manusia. Alam sekitar merupakan nikmat dan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai kepada kesejahteraan kepada manusia dan juga haiwan. Kebergantungan manusia terhadap alam sekitar adalah tinggi kerana di situlah sumber oksigen, sumber makanan dan minuman. Kelangsungan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati oleh manusia pada hari ini merupakan hasil hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitarnya. Tanpa kehadiran alam sekitar, tidak mungkin wujud lagi penghuni di bumi ini. Namun, manusia masih gagal untuk memastikan kelestarian alam sekitar, terutamanya di Malaysia tidak kira sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, alam sekitar bermaksud suatu aset atau simpanan sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari semasa ke semasa. Manakala, definisi alam sekitar atau persekitaran berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) ialah faktor-faktor fizikal yang mengelilingi kehidupan manusia. Hal ini termasuklah tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor biologi, dan faktor sosial yang saling bergantung sesama sendiri antara faktor biologi dengan faktor fizikal. Jelaslah bahawa daripada definisi alam sekitar tersebut, manusia sememangnya saling berhubungan dengan alam untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan hidup di muka bumi ini. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memelihara alam sekitar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan”. (Hadis riwayat Muslim).

Dari sudut ekonomi, alam sekitar yang membabitkan kawasan hutan dan kawasan tanah tinggi dianggap sebagai sumber ekonomi dan perlu dibangunkan dan dimajukan. Justeru, projek pembangunan di kawasan terbabit turut dirangka termasuklah projek infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya. Tidak salah sebenarnya sumber alam dimanfaatkan untuk kemudahan dan kesenangan orang ramai, namun pembangunannya perlulah menepati piawaian yang betul agar tidak berlakunya bencana alam di kemudian hari. Namun, kebanyakan pembangunan terutamanya di kawasan tanah tinggi acapkali menyebabkan berlakunya bencana alam di Malaysia. Yang terbaharu ialah kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang 19 buah rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights pada bulan September lalu.

Jika diperhatikan, pencemaran yang berlaku secara berleluasa di negara ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91 peratus kejadian pencemaran di Malaysia terutamanya pencemaran adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia. Selain itu, unsur lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran di Malaysia ialah bahan kumbahan dan baja bagi tujuan pertanian, kelodak dan bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan kawasan pembinaan dan perbandaran selain daripada hakisan tebing sungai. Bahan buangan daripada industri perkilangan, pembalakan dan pembangunan industri juga menyumbang kepada faktor berlakunya pencemaran. Sebagai contohnya, pencemaran air di Selangor sering kali berlaku gara-gara sikap mementingkan diri beberapa buah kilang yang mencemarkan sumber air mentah dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna di Lembah Klang.

Di samping itu, masyarakat seharusnya bertanggungjawab menggalas peranan dalam membantu kerajaan melestarikan alam sekitar. Masyarakat sebenarnya boleh memainkan peranan dalam melestarikan alam sekitar jika setiap orang mengetepikan sikap acuh tak acuh terhadap pencemaran yang terjadi di sekeliling mereka. Antara usaha kerajaan dalam melestarikan alam sekitar termasuklah mengambil langkah dengan mengeluarkan larangan penggunaan penyedut minuman plastik yang akan dikuatkuasakan bermula pada bulan Januari 2020. Larangan ini berkuatkuasa kepada para pengusaha premis makanan di Malaysia. Walau bagaimanapun, pandemik yang melanda Malaysia menyebabkan penguatkuasaan hal ini masih belum terlaksana sepenuhnya.

Pengurusan pembuangan sisa pepejal yang tidak terurus merupakan antara masalah utama yang dihadapi hampir kebanyakan bandar utama di seluruh dunia.

Peranan masyarakat dalam melestarikan alam sekitar perlu berakar umbi dari dalam diri bermula sejak kecil lagi. Hal ini kerana Malaysia kini menghadapi masalah pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik yang boleh menyebabkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan. Penghasilan sisa domestik di negara ini telah meningkat dari sehari ke sehari terutamanya semasa musim pandemik sehinggakan tapak pelupusan sampah yang disediakan gagal menampung sisa buangan yang semakin meningkat. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya jumlah sampah dan air sisa perlu dikurangkan bagi menangani masalah ini. Pengurusan sisa pepejal di rumah seharusnya ditangani secara lebih berhemah. Sebagai contohnya, sisa buangan di rumah seperti minyak masak terpakai boleh dikumpulkan dalam bekas yang bersesuaian seperti botol minyak masak asal dan apabila penuh bolehlah dihantar ke pusat kitar semula berhampiran. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuang terus sisa minyak ke dalam sinki yang menyebabkannya mengalir ke dalam sistem perparitan. Hal ini boleh mengakibatkan parit dan longkang berbau busuk dan tersumbat dan seterusnya boleh menyebabkan banjir kilat.

Selain itu, setiap isi rumah juga perlu melaksanakan konsep amalan 3R, iaitu reduce (pengurangan), reuse (penggunaan semula) dan recycle (kitar semula) dalam menguruskan sisa pepejal. Konsep pengurangan merujuk amalan yang dapat mengurangkan penjanaan sisa pepejal. Antaranya adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan seperti beg plastik dan polisterin. Pada bulan November 2020, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air telah bersetuju untuk melaksanakan inisiatif Kempen Tiada Beg Plastik bagi meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, kesedaran masyarakat terhadap kempen ini masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju lain. Orang ramai dilihat lebih gemar memilih membeli beg plastik dengan caj minimum sebanyak dua puluh sen yang ditawarkan berbanding membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar.

Masyarakat perlu membudayakan amalan kitar semula bermula di kediaman masing-masing.

Konsep kedua, iaitu penggunaan semula merujuk mempelbagaikan penggunaan bahan tersebut sama ada untuk mengekalkan bentuk asalnya atau tidak. Sebagai contohnya, pakaian lama boleh dijadikan sebagai kain perca, tayar kenderaan lama boleh digunakan untuk menanam pokok dan sebagainya berdasarkan kreativiti dan cita rasa masing-masing. Konsep yang terakhir pula, iaitu kitar semula merujuk meletakkan sesuatu dalam kitaran. Proses mengitar semula bermula dengan mengasingkan sisa, dan kemudian menyalurkannya kepada organisasi atau kilang yang memprosesnya supaya menjadi produk baru untuk kegunaan semula.

Seharusnya, masyarakat sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam melestarikan alam sekitar. Bukalah mata dengan melihat segala bencana alam yang terjadi di Malaysia kebelakangan ini. Kejadian banjir kilat, pembakaran terbuka, jerebu, tanah runtuh, dan tumpahan minyak merupakan fenomena pencemaran yang berpunca daripada sikap tamak dan perbuatan buruk manusia sendiri. Sama-samalah menjaga bumi yang semakin tua ini agar anak cucu dapat mewarisi kesejahteraan alam semula jadi seluruhnya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!