Oleh Noraini Talip
16 Disember 2021, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Paku-pakis telah diketahui mempunyai nilai ekonomi sebagai sumber bahan makanan, ubat-ubatan, perhiasan dan landskap. Sumber makanan daripada paku-pakis boleh diperoleh daripada bahagian batang, rizom, daun dan pucuk muda. Lembiding (paku midin, paku meliding, paku merah, paku akar, paku naga, paku ramu) atau Stenochlaena palustris daripada famili Blechnaceae merupakan paku-pakis epifit yang menumpang pada tumbuhan lain. Lembiding berpaut pada kulit kayu untuk mengumpul makanan dan air yang diperlukan. Akar paku-pakis ini jarang menjejak tanah kerana diselaputi lumut yang membantu dalam mengumpul air dan humus sebagai sumber nutrien kepada paku-pakis.

Lembiding yang hidup sebagai epifit.

Lembiding digunakan secara tradisional oleh masyarakat orang asli di Malaysia untuk merawat demam. Daun atau pucuk muda lembiding dibersihkan dan direbus. Air rebusan tersebut digunakan untuk mengelap seluruh badan bagi mengurangkan rasa panas pada badan. Bagi merawat ulser atau seriawan, air rebusan daun lembiding digunakan untuk berkumur.

Pucuk atau daun muda lembiding boleh dijadikan ulam-ulaman dengan cara membersihkan daun dan kemudiannya dicelur di dalam air panas yang dicampurkan dengan sedikit minyak. Paku-pakis ini juga sering dijadikan sayuran masakan atau sebagai bahan bubur lambuk di Semenanjung Malaysia. Di samping itu, lembiding digunakan untuk merawat penyakit kulit di Thailand. Manakala di Sumatera, pucuk lembiding diambil bersama-sama makanan apabila seseorang merasa kurang selera makan. Batang lembiding boleh digunakan untuk membuat perangkap ikan dan kadangkala digunakan dalam pembuatan bakul.

Daun muda lembiding yang berwarna merah sering dijadikan bahan masakan dalam masyarakat Melayu.

Lembiding kebiasaannya dijumpai di kawasan berdekatan paya terbuka dan merupakan paku-pakis pemanjat di hutan sekunder dan di kawasan tanah rendah hingga berbukit. Spesies ini juga kerap dijumpai di kawasan penanaman kelapa sawit dan di kawasan yang menerima cahaya matahari secara langsung. Lembiding dicirikan oleh fron muda yang berwarna merah. Rizomnya menjalar dan memanjat pada batang pokok dan berwarna hijau. Fron spesies ini kira-kira 40 – 70 sentimeter panjang, mempunyai pina steril dan fertil, tebal, berkilat pada permukaan adaksial dan mempunyai peruratan ringkas atau bercabang. Pina fertil mempunyai sorus yang menutupi keseluruhan permukaan adaksial pina dan tidak dilindungi oleh indusium. Spora paku pakis ini berwarna perang.

Terdapat beberapa kajian saintifik yang telah membuktikan potensi ubat-ubatan dan khasiat lembiding. Kajian membuktikan terdapat bahan fenolik dan bahan antioksidan pada paku-pakis ini yang ditemukan pada gelungan daun atau krozier dan kesemua fron termasuklah fron steril, fron fertil, fron muda atau fron tua. Bahan fenolik dan bahan antioksidan sangat berguna sebagai produk awet muda atau mengekalkan keanjalan kulit. Kehadiran antosianin pada fron muda atau pada gelungan daun muda (krozier) juga menunjukkan potensi pemakanan pada bahagian ini.

Fron fertil dengan kehadiran sorus pada daun lembiding.

Antara fungsi antosianin adalah sebagai antioksidan dalam tubuh dan mencegah aterosklerosis. Antosianin menghalang pembentukan lemak jahat atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan melindungi dinding salur darah. Antosianin turut memberikan manfaat pada kesihatan seperti melindungi perut daripada kerosakan, menghalang sel tumor, meningkatkan kemampuan penglihatan mata, serta berfungsi melindungi otak daripada kerosakan. Antosianin juga membantu mencegah obesiti dan diabetes, meningkatkan kemampuan memori otak dan mencegah penyakit neurologi, serta menentang radikal bebas dalam badan.

Lembiding mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi bagi ekstrak metanol dan air. Spesies ini mempunyai sebatian kimia yang dikenali sebagai taraxerone. Kajian merekodkan terdapat tujuh sebatian kumpulan glikosida kaempferol bagi spesies ini. Hasil kajian juga mendapati kumpulan terpenoid lebih banyak dijumpai dan dikenal pasti sebagai kumpulan triterpenoid daripada jenis steroid. Sebatian terpenoid dikaitkan dengan ubat tahan sakit dan anti keradangan. Steroid pula banyak dihubungkan dengan hormon seksual yang sentiasa menjadi tumpuan penyelidik dan ahli farmasi.

Hasil kajian ujian ABTS ekstrak metanol menunjukkan lembiding mempunyai aktiviti antioksida dengan nilai ABTS 9504.9 mg GAE/100 g. Hasil ujian ABTS ekstrak air pula merekodkan nilai aktiviti antioksida sebanyak 958.15 GAE/100 g. Ujian pemerangkapan radikal bebas DPPH ekstrak metanol mencatatkan nilai radikal bebas DPPH sebanyak 9289.2 mg GAE/100 g, manakala ujian radikal bebas DPPH ekstrak air menunjukkan spesies ini mempunyai aktiviti antioksida dengan nilai sebanyak DPPH 775 GAE/100 g.

Sementara itu, kajian terhadap ekstrak daun matang fertil lembiding merekodkan aktiviti antioksidan paling tinggi dengan nilai radikal bebas sebanyak DPPH 2.299 GA/100 g, diikuti dengan ekstrak daun matang steril dengan nilai 2.071 GA/100 g, ekstrak daun muda fertil sebanyak 1.997 GA/100 g dan ekstrak daun muda steril dengan bacaan 1.801 GA/100 g.

Oleh itu, berdasarkan kajian saintifik yang dilakukan, bolehlah dikatakan bahawa lembiding mempunyai potensi sebagai tanaman ubat-ubatan dan makanan, terutamanya pada bahagian fron muda berwarna merah kerana sifatnya yang kaya dengan sumber antioksidan.

Daun muda lembiding yang berwarna merah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.