3 Disember 2021, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Masyarakat perlu memberikan tumpuan kepada golongan yang dipinggirkan akibat HIV. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan agar tumpuan diperbaharui atau dilihat semula kepada negara dan populasi yang masih belum mendapat perhatian atau “tercicir” dalam mendapatkan tindak balas secara global terhadap isu HIV dan AIDS. Hal ini meliputi pelbagai golongan yang terpinggir di setiap negara, termasuklah populasi utama golongan yang berisiko tinggi,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan kempen kesedaran Hari AIDS Sedunia.

Menurut baginda, semua pihak perlu mengembalikan semula komitmen masing-masing dalam usaha menamatkan penularan HIV. Pelbagai cabaran yang berlaku disebabkan oleh pandemik COVID-19 memerlukan usaha baharu bagi menamatkan HIV yang akan menjadi ancaman terhadap kesihatan awam menjelang tahun 2030.

Tambah baginda lagi, masyarakat perlu memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan yang hidup dengan HIV dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini. Oleh itu, HIV dan COVID-19 perlu ditangani segera bersama-sama.

Sementara itu, dalam kempen tersebut juga, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Arau, Dr. Muhammad Faiz Rasmi telah menyampaikan sebuah taklimat bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV dengan temanya, “Akhiri Ketidaksamarataan, Akhiri AIDS, Akhiri Pandemik”.

Seterusnya, dalam sesi berasingan pula, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menyeru masyarakat agar meningkatkan kefahaman tentang kepentingan isu kesaksamaan dan mengekalkan kepentingan perkhidmatan HIV yang berkualiti tinggi bagi memastikan setiap golongan yang berisiko dijangkiti HIV memiliki akses yang sama kepada aktiviti pencegahan, ujian, rawatan, dan penjagaan penghidap HIV, termasuklah vaksinasi dan rawatan berkaitan dengan COVID-19.

Berikan penjagaan yang baik, menghormati hak asasi manusia dan tanpa sebarang stigma. Pastikan kakitangan adalah terlatih dan sedar akan pencegahan dan kawalan jangkitan serta dengan menggunakan langkah yang bersesuaian. Oleh itu, lindungi keselamatan semua dan orang yang disayangi.

Bersempena dengan program yang disekalikan dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-34 bagi tahun 2021 tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs bernilai RM400.00 setiap seorang dan berjumlah RM11 200.00 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Darul Ulum, Wang Ulu, Kangar melalui amilnya, Encik Mohammad Radzi Abdullah. Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kedua dari kanan) berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf terpilih di Masjid Darul Ulum, Wang Ulu, Kangar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.