1 Disember 2021, 22:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepong – “Jejantas Rimba yang dibina pada tahun 2019 dan berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada penduduk, terutamanya di Lembah Klang menikmati keindahan alam sekitar, hutan, pokok-pokok dan tumbuhan yang berada di persekitaran hutan. Di samping itu, tujuannya adalah untuk memberikan kefahaman kepada generasi muda tentang kepentingan hutan,” kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Parlan dalam Majlis Penyerahan Majalah Dewan Kosmik Bil. 12 2021 hari ini.

Dr. Ismail Parlan, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Menurut Dr. Ismail Parlan, Jejantas Rimba ini dibina dengan menggunakan dana yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Pada mulanya, cadangan untuk membuka Jejantas Rimba ini adalah pada tahun 2020 tetapi disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang dihadapi di seluruh dunia, termasuklah negara ini, pihak FRIM hanya dapat membukanya selama 35 hari pada bulan Ogos 2020, dan telah membukanya kembali pada 16 September 2021 bersempena dengan Pelan Pemulihan Negara Fasa Keempat.

Jejantas Rimba yang terletak di Taman Botani Kepong dibina dengan menggunakan perancah aluminium yang diperkukuh dengan tiub keluli dan kabel besi penampung. Jejantas jenis ini merupakan jejantas yang pertama di dunia, yang terdiri daripada 11 buah menara dan lapan buah jambatan dengan pelantar berketinggian antara 18 meter hingga 50 meter yang berjumlah 250 meter panjang.

Tambah beliau, para pelawat akan mendapat suatu perasaan dan pengetahuan tentang perbezaan dari segi strata-strata hutan yang ada di Malaysia, dari strata yang paling rendah hingga strata yang paling tinggi.

Selain itu, menurut Dr. Ismail Parlan, para pelawat akan dapat melihat dua jenis pemandangan melalui Jejantas Rimba ini, iaitu pemandangan hutan dan pemandangan pembangunan Kuala Lumpur. Kini, pihak FRIM membuka Jejantas Rimba pada waktu siang, namun begitu terdapat juga perancangan untuk membukanya pada waktu malam agar masyarakat akan terus dapat menikmati keindahan alam ini.

Tambah beliau lagi, banyak pelawat yang datang ke FRIM, yakni kira-kira 500 000 orang dalam setahun dan 20% daripadanya terdiri daripada pelawat dari luar negara. Hal ini sekali gus memberikan peluang kepada pihak FRIM memberikan pengetahuan tentang hutan di Malaysia kepada warga luar negara.

Sesi penyerahan majalah Dewan Kosmik Bil. 12 2021 kepada pihak FRIM.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, Dr. Rosmani Omar dan beberapa orang pegawai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.