Oleh Mudiana Mokhsin
26 November 2021, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sindrom Alice in Wonderland (AWS) ialah keadaan neuropsikologi yang menyebabkan gangguan persepsi pada seseorang. Sindrom AWS juga dikenali sebagai sindrom Todd atau dismetropsia.

Sindrom AWS sangat jarang berlaku. Sindrom ini boleh menyerang kanak-kanak dan dewasa. Individu yang menghidap sindrom ini sukar mentafsir objek atau keadaan yang dilihat oleh mata sehingga memberikan satu isyarat yang kompleks. Penghidap sindrom AWS akan merasakan saiz tubuh dan anggota badan mereka lebih besar atau lebih kecil daripada keadaan sebenar. Penghidap AWS juga merasakan objek di sekeliling mereka seolah-olah bergerak atau berada pada kedudukan yang lebih jauh atau lebih dekat dengan mereka.

Sindrom AWS telah ditemui oleh Dr. John Todd, pakar psikiatrik Britain pada tahun 1950. Beliau mendapati gejala sindrom ini sangat menyerupai watak Alice Liddell dalam novel Lewis Carroll berjudul Alice’s Adventures in Wonderland.

Sindrom AWS boleh mempengaruhi pelbagai deria termasuklah rasa, bau, penglihatan, sentuhan dan pendengaran. Penghidap sindrom AWS lebih cenderung untuk mengalami migrain. Sebilangan penyelidik dan doktor percaya bahawa sindrom AWS ialah aura atau petunjuk awal sebelum berlakunya serangan migrain. Terdapat juga sekumpulan pakar percaya bahawa sindrom AWS ialah sejenis migrain yang jarang berlaku.

Terdapat empat jenis persepsi visual utama yang dialami oleh pesakit AWS. Persepsi visual pertama ialah mikropsia. Mikropsia merujuk kepada keadaan yang penghidap AWS merasakan saiz badan atau objek di sekeliling mereka semakin kecil. Persepsi visual yang kedua pula ialah makropsia. Makropsia ialah persepsi visual yang menunjukkan saiz badan atau objek di sekeliling mereka kelihatan semakin besar. Kedua-dua jenis persepsi visual ini ialah simptom biasa bagi penghidap sindrom AWS.

Persepsi visual ketiga bagi penghidap sindrom AWS ialah pelopsia. Pelopsia ialah keadaan yang penghidap AWS merasakan objek di sekeliling mereka kelihatan semakin besar dan lebih dekat daripada jarak yang sebenarnya. Manakala jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, keadaan tersebut dikenali sebagai teleopsia. Teleopsia ialah keadaan yang menunjukkan bahawa objek objek di sekeliling penghidap sindrom AWS semakin kecil dan lebih jauh mereka.

Penghidap sindrom AWS juga merasakan masa bergerak lebih pantas atau lebih perlahan. Selain itu, mereka juga akan mengalami gangguan pendengaran seperti suara yang realitinya perlahan, namun didengari kuat dan mengganggu. Penghidap sindrom ini juga tidak dapat mengawal anggota badan dan memberikan tindak balas secara tidak sengaja. Ini secara tidak langsung mempengaruhi cara penghidap sindrom AWS bergerak dan berjalan.

Faktor utama berlakunya sindrom AWS masih menjadi tanda tanya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang dikaitkan dengan sindrom AWS, iaitu migrain, jangkitan pengambilan dadah psikotropik, dadah terlarang, ketumbuhan dalam badan dan genetik.

Sehingga hari ini, tiada satu ujian khusus digunakan untuk mendiagnos sindrom AWS. Walau bagaimanapun, beberapa ujian boleh dijalankan yang dapat membantu dalam mengenal pasti sindrom ini. Antaranya ialah melalui prosedur imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), pemantauan aktiviti elektrik di otak melalui elektroensefalogram (EEG) dan ujian darah.

Rawatan sindrom AWS lebih bersifat sokongan dan tidak mempunyai rawatan tertentu. Kebiasaannya, penghidap sindrom AWS akan menjalani terapi supaya mereka berada dalam situasi yang sebenar, selain diberi ubat-ubatan tertentu untuk mengurangkan halusinasi dan tekanan. Penghidap sindrom AWS juga sentiasa diingatkan bahawa gejala sindrom AWS tidak berbahaya dan boleh dirawat.

 

Penulis ialah Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.