18 November 2021, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Pertanian Malaysia telah memperkenalkan satu aplikasi yang boleh membantu petani dalam mengawal dan mengoptimumkan penggunaan baja kimia, iaitu aplikasi Carta Warna Daun atau Leaf Colour Chart (LCC) Padi. Aplikasi ini juga telah digunakan oleh negara-negara pengeluar padi dunia. Aplikasi yang dibangunkan oleh International Rice Research Institute (IRRI) ini bertujuan untuk mengukur keperluan nitrogen dalam tanaman padi mengikut keperluan di sawah.

Selain itu, intensiti warna daun sangat berkait rapat dengan kandungan klorofil dan status nitrogen daun. Inovasi aplikasi LCC Padi ini diilhamkan apabila ramai petani yang berminat untuk mendapatkan dan membeli LCC untuk mengukur tahap nitrogen dalam daun di sawah masing-masing.

Objektif aplikasi LCC Padi ini dicipta adalah untuk memudahkan petani dan pegawai di lapangan mendapatkan data status nitrogen daun padi serta mengetahui tahap keperluan baja dan membantu petani mengurangkan penggunaan baja nitrogen berpandukan status semasa nitrogen pada daun.

Penggunaan baja yang berlebihan boleh menyebabkan padi mudah diserang oleh perosak dan pelbagai penyakit. Situasi ini bukan sahaja mengakibatkan hasil padi tidak dapat dituai, malah akan merugikan petani.

Seterusnya, aplikasi LCC Padi turut dilengkapi dengan arahan penggunaan yang menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Arahan penggunaannya yang mudah diikuti secara tidak langsung menyebabkan keputusan daripada pengambilan data dapat diperoleh dengan pantas berbanding dengan kaedah lama.

Aplikasi LCC Padi adalah percuma dan boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play Store di pautan https://play.google.com/store/apps/details?id=my.gov.perak.jpp.lcc&hl=en&gl=US

Aplikasi LCC Padi.

(Sumber video: Jabatan Pertanian Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.