15 November 2021, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival PSN SciFest (VPSF 2021) pada tahun ini dianjurkan secara maya dari 10 November 2021 hingga 16 November 2021 berikutan wabak pandemik COVID-19 yang masih melanda negara kita. Festival ini merupakan kemuncak kepada inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) oleh Pusat Sains Negara (PSN) yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2011.

Selain itu, program ini juga diadakan bersempena dengan Hari Pusat Sains dan Muzium Sains Sedunia yang disambut secara global pada 10 November setiap tahun. Pada tahun ini, PSN menyasarkan penyertaan orang ramai dari pelbagai latar belakang sosial, termasuklah pelajar sekolah, pelajar universiti, ibu bapa, pendidik, dan semua lapisan masyarakat umum.

VPSF 2021 yang bertemakan “STEM for a Better Tomorrow” memfokuskan peri pentingnya pembudayaan STI melalui Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat pada masa ini dan pada masa hadapan.

Objektif VPSF 2021 pula adalah untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan STI kepada masyarakat, memudahkan penyampaian STI melalui pelbagai kaedah penyampaian dan juga komunikasi sains serta menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN, 2021-2030) dengan usaha STI dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti pembelajaran sains bukan formal di PSN.

PSN menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran khas, pertandingan, bengkel dan ceramah santai yang sesuai untuk seisi keluarga secara maya sepanjang festival tersebut berlangsung. Antara bengkel STEM secara maya yang diadakan secara langsung oleh PSN adalah seperti “Fun with DIY Science Project”, “Weather Around Us”, Inovasi Pendidik dan “Nature Secret”. Festival ini juga menyediakan pelbagai program demonstrasi sains seperti “Fuse and Fission Element”, “Dino Show” dan banyak lagi program lain. Masyarakat juga berpeluang untuk menyertai pelbagai kuiz sepanjang VPSF 2021 berlangsung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dijadualkan akan menyempurnakan majlis penutupan VPSF 2021 pada 16 November 2021, pukul 3.00 petang dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube PSN. Dalam majlis tersebut juga akan diumumkan pemenang pertandingan “National Tinkering Challenge 2021” dan pelancaran galeri “Tinker Garage” yang merupakan satu daripada tarikan baharu di PSN, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh layari pautan di www.psn.gov.my/virtualscifest.

(Sumber: Facebook Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur)

 

(Sumber: www.psn.gov.my/virtualscifest)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.