Oleh RYAN SOFEA
27 Oktober 2021, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pokok kelapa sawit mengeluarkan dua jenis minyak, iaitu minyak sawit mentah dan minyak isirung kelapa sawit mentah. Proses pengekstrakan minyak sawit, antaranya termasuklah penekanan, pensterilan, pencernaan, pelucutan, pembersihan, dan pengeringan vakum menggunakan air yang sangat banyak. Oleh itu, industri minyak sawit mempunyai impak yang besar terhadap alam sekitar, terutamanya di Malaysia.

Proses pengekstrakan minyak daripada buah kelapa sawit akan mengakibatkan terhasilnya air buangan sisa akhir efluen kilang minyak sawit atau palm oil mill effluent (POME) ke dalam sistem saliran. Sebanyak 44 juta tan POME dihasilkan di Malaysia dan angka tersebut dijangka akan meningkat setiap tahun. POME mengandungi komponen yang tidak larut dalam air seperti buah kelapa sawit dan bahan termendak seperti gentian kelapa sawit dan minyak.

Kehadiran minyak dan gris menyebabkan POME menjadi asidik dan bahan pencemar kerana sukar diuraikan. Minyak merupakan masalah utama dalam rawatan biologi sisa POME. POME bersifat panas dan berasid sekitar pH 4 dan pH 5. POME berwarna perang likat dan mempunyai mendakan.

Rawatan POME dibangunkan sejak sedekad yang lalu. Teknologi rawatan POME pada masa ini banyak memfokuskan kaedah biologi untuk mengurangkan kehendak oksigen biokimia atau Biochemical Oxygen Demand (BOD) dan jumlah karbon organik.

Kebanyakan proses biologi tidak dapat menguraikan warna dalam POME. Kaedah yang biasa digunakan ialah sistem takungan kolam, antaranya termasuklah penyejukan, anaerobik, aerobik, fakultatif, dan kolam alga.

Hasil kajian membuktikan bahawa warna efluen sukar dirawat kerana sebatian fenol dalam POME. POME memberikan kesan yang buruk pada alam sekitar – tanah, air dan hidupan akuatik. Walaupun POME boleh dibiodegradasi kerana kehadiran sisa minyak yang masih wujud dalam air tersebut, tetapi POME perlu dirawat terlebih dahulu kerana keadaannya yang berasid dan mempunyai nilai BOD yang tinggi.

Para penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau Malaysian Palm Oil Board (MPOB) berjaya mencipta teknologi mesra alam untuk merawat POME dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit. Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk menghasilkan karbon teraktif.

Teknologi baharu yang menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit ini selaras dengan keperluan kilang sawit yang diwajibkan bagi merawat POME berdasarkan peraturan ketat Jabatan Alam Sekitar dan syarat pelesenan MPOB.

Teknologi baharu ini diharapkan dapat meningkatkan imej industri sawit dengan penghasilan minyak sawit yang berkualiti tanpa mencemarkan alam sekitar. Pengeluaran minyak sawit Malaysia perlu lestari dan mampan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas. MPOB sangat komited terhadap tanggungjawab mereka, yakni memastikan bahawa setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia diperakui kelestariannya.

(Sumber: Dewan Kosmik, Oktober 2021)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.