22 Oktober 2021, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Buku perubatan dan kesihatan dalam bahasa Melayu amat terhad kerana kebanyakan penulisan buku dalam bidang ini adalah dalam bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan masyarakat di negara ini tidak dapat memanfaatkan buku dalam bidang perubatan dengan sepenuhnya.  Oleh hal yang demikian, para ahli akademik perlu bertanggungjawab untuk memulakan projek penulisan buku sama ada buku ilmiah, buku umum, ataupun novel, agar masyarakat dapat menikmati penulisan sains dan perubatan dalam bahasa Melayu,” kata Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 dalam program “Syarahan Perdana: Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dalam Bidang Sains Perubatan dan Kesihatan” yang diadakan secara dalam talian pada hari ini.

Menurut Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, faktor utama yang mendorong beliau untuk menulis buku atau artikel dalam bidang perubatan dan kesihatan ialah pesakit. Hal ini demikian kerana pada ketika itu tidak ada buku yang boleh dibaca oleh masyarakat umum, khususnya pesakit beliau untuk memahami masalah atau penyakit yang dihadapi. Oleh itu, beliau beriltizam untuk membantu para pesakit beliau melalui penulisan.

Nik Hazlina turut berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghasilkan sesebuah penulisan. Kerjaya beliau sebagai seorang doktor lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu. Penulisan maklumat dalam bahasa Melayu agak sukar. Hal ini demikian kerana kebanyakan istilah perubatan ditulis dalam bahasa Inggeris dan perlu diterjemahkan dengan tepat. Kepakaran untuk menterjemahkan sesuatu istilah itu sangat diperlukan dan mengambil masa yang agak lama.

Tambah beliau, “Pensyarah atau pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan berbelah bahagi untuk menulis. Hal ini demikian kerana mereka kurang berkeyakinan untuk menulis karya kreatif seperti penulisan novel atau karya sastera yang lain. Mereka berfikiran sukar untuk mendapat ilham kerana pemikiran mereka lebih menjurus kepada fakta.”

Beliau turut mengimbau kenangan tentang kunjungan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk memberikan ceramah tentang kaedah penulisan buku yang betul. Kunjungan tersebut  menjadi titik tolak kepada beliau dan rakan-rakan beliau untuk menulis buku dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang mengupas pelbagai isu  , antaranya termasuklah isu sosial, penderaan, kekeluargaan, penyakit, dan sebagainya.

Tambah beliau, “Terdapat dua buah novel dan sebuah antologi cerpen yang bertemakan perubatan dan kesihatan yang berjaya diterbitkan, iaitu Cinta Nan Bersemi Kembali, Isabella Adriani dan Isteriku 46 XY.”

Penerbitan novel dan cerpen tersebut membuktikan bahawa pakar perubatan juga mampu menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu. Pada tahun ini, beliau dan rakan-rakan beliau berjaya menghasilkan cerpen yang bertemakan dunia perubatan, iaitu Suamiku 47 XXY.

Nik Hazlina  turut terlibat dengan penyeliaan dan pengajaran program keluarga angkat untuk pesakit yang menghadapi masalah fibroid dan endometriosis. Beliau juga terlibat dalam pelbagai penyelidikan, satu daripadanya ialah penyelidikan berkenaan kacip fatimah. Berdasarkan hasil penyelidikan yang diperoleh, beliau berusaha menerbitkan buku dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami berserta gambar yang menarik bagi memberikan penjelasan yang lebih mendalam tentang fakta saintifik yang ingin disampaikan.

Yakinlah bahawa bahasa Melayu boleh diketengahkan dan didaulatkan sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains perubatan dan kesihatan. Ahli akademik harus memilih bahasa Melayu sebagai wahana penulisan dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran, dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat pelbagai bangsa dan peringkat umur. Kelestarian ekosistem pembangunan ilmu negara dapat dikekalkan dan pemindahan ilmu tinggi di menara gading dapat disalurkan kepada masyarakat awam.

 

Penerbitan novel yang memaparkan isu perubatan yang bersifat santai dengan menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami.

 

Hasil penyelidikan berkenaan kacip fatimah.
Peserta program “Syarahan Perdana: Mendaulatkan Bahasa Melayu SebagaI Bahasa Ilmu dalam Bidang Sains Perubatan dan Kesihatan” secara dalam talian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.