21 Oktober 2021, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan disambut pada 21 Oktober setiap tahun. Tema sambutan HASN pada tahun ini ialah “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”.

HASN dijenamakan semula oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berasaskan sambutan Hari Alam Sekitar Malaysia dan Minggu Alam Sekitar Malaysia pada tahun 2015.

HASN Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada hari ini dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YB Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut menghadiri majlis perasmian ini ialah Menteri KASA, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

HASN Peringkat Kebangsaan bertujuan meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar. Terdapat tiga program utama sambutan HASN pada tahun ini, iaitu Program Plasticbuster, Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (e-Waste) dan Program 1 Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Pokok.

Program Plasticbuster merupakan inisiatif warga KASA sebagai agen perubahan untuk memberikan kesedaran agar masyarakat menghindari penggunaan plastik sekali guna di pejabat kerajaan selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030.

Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (e-Waste) merupakan program teras kedua HASN yang digerakkan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS). JAS mengambil inisiatif dengan menetapkan hari Sabtu terakhir pada setiap bulan sebagai hari pengumpulan e-Waste di seluruh negara bagi proses pengumpulan yang lebih sistematik dan selamat.

Program ini menyasarkan sejumlah 800 metrik tan e-Waste untuk dikumpulkan. Sementara itu, Program 1 Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Pokok adalah satu daripada usaha KASA ke arah menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun.

Selain tiga program utama tersebut, sambutan HASN Peringkat Kebangsaan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program lain seperti webinar dengan pelbagai tajuk perbincangan, antaranya termasuklah “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”, “Pengurusan Air Tasik Sebagai Sumber Bekalan Air”, “Diskusi Menyuntik Minda Belia Cakna Alam Sekitar”, Pertandingan Esei Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), Malam Deklamasi Puisi Alam Sekitar, RAS Cakna Sungai, dan lain-lain. JAS negeri di seluruh negara turut mengadakan pelbagai program dan pertandingan bagi memeriahkan sambutan HASN Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

(Sumber gambar: Facebook KASA)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.