20 Oktober 2021, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Osteoporosis Sedunia yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun bertujuan menyedarkan masyarakat tentang langkah awal pencegahan penyakit osteoporosis.

Osteoporosis ialah keadaan tulang badan individu yang kehilangan kepadatan hingga mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Tulang ialah tisu hidup yang berupaya membaiki dengan sendirinya secara berterusan.

Tulang merangkumi bahagian luar yang keras, mengandungi jaringan kolagen (serat elastik yang kuat), bahan mineral, salur darah, dan sum-sum tulang. Pada kebiasaannya, tulang yang sihat amat padat dengan ruangan di antara tulang adalah kecil.

Bagi penyakit osteoporosis, ruangan di antara tulang adalah besar. Keadaan ini menjadikan tulang lemah dan kurang elastik. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan individu yang meningkat usia dan wanita yang menopaus. Hal ini dikatakan demikian kerana tubuh mereka tidak lagi dapat menggantikan tisu tulang yang lama dengan tisu tulang baharu yang lebih sihat.

Osteoporosis tidak berlaku secara mendadak. Gejalanya tidak begitu ketara pada peringkat awal dan boleh memakan masa beberapa bulan atau tahun. Antara tanda osteoporosis, termasuklah sakit sendi, sukar untuk berdiri tegak atau duduk atau kepatahan tulang tanpa hentaman atau hentakan.

Apabila tulang menjadi nipis (rendah dalam jisim tulang), tulang pergelangan tangan, tulang pinggul atau tulang spinal (vertebra) lebih senang patah. Osteoporosis boleh menyebabkan tulang rusuk patah walaupun individu itu hanya batuk atau bersin. Bongkok dalam kalangan warga emas adalah satu daripada gejala osteoporosis. Keadaan ini berlaku kerana tulang vertebra patah (atau pecah). Oleh hal yang demikian, penghidap penyakit ini sukar menyokong berat badannya.

Wanita lebih berisiko tinggi menghidap osteoporosis berbanding dengan lelaki. Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis, antaranya termasuklah penurunan hormon estrogen selepas menopaus, mengalami menopaus lebih awal sebelum usia 45 tahun, menjalani pembedahan histerektomi (pembuangan organ rahim) sebelum usia 45 tahun, terutamanya jika ovari dibuang sekali dan tidak datang haid dalam tempoh yang lama (lebih daripada enam bulan).

Sementara itu, hormon testosteron lelaki membantu membentuk tulang yang sihat. Lelaki menghasilkan hormon secara berterusan walaupun pada usia lanjut. Namun begitu, lelaki berisiko mendapat osteoporosis jika paras hormon rendah. Oleh itu, individu yang bergejala perlu segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan untuk memilih kaedah rawatan yang sesuai dan terbaik untuk mencegah osteoporosis.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.