Oleh Ritah Yahaya
20 Oktober 2021, 23:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis sudah beberapa kali mengunjungi Labuan. Kali terakhir penulis menjejakkan kaki ke pulau itu ialah enam tahun yang  lalu. Baru-baru ini, penulis sekali lagi berpeluang mengunjungi Labuan untuk membuat liputan Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Besempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah bersama-sama pelbagai agensi media dari Kuala Lumpur dan Labuan. Labuan menjadi satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Pengisian program, antaranya termasuklah meninjau pemberian vaksin kepada pelajar yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan suasana pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru,  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-rancha dan SMK Mutiara. Walaupun terikat dengan jadual tugas yang padat, jeda masa yang ada, penulis manfaatkan untuk mencari buah tangan istimewa dari Labuan untuk dibawa pulang.

Penulis tertanya-tanya tentang cenderamata istimewa Labuan yang lain selain pelbagai coklat import yang dikatakan murah di pulau bebas cukai itu sebagaimana di Pulau Langkawi berbanding dengan tempat lain. Dalam pada penulis tertanya-tanya dan tercari-cari cenderamata popular dan menarik, beberapa orang rakan media yang merupakan penduduk tempatan mencadangkan kepada penulis agar membeli ikan bilis. Barulah penulis tahu bahawa Labuan bukan hanya terkenal dengan coklat import, tetapi juga produk hasil laut yang segar seperti ikan bilis dan ikan masin.

Proses mengasingkan ikan bilis daripada hasil marin yang lain.

     Melvin Teo Twan Ann, Pengurus TLG Maju Enterprise.

Penulis sempat singgah di TLG Maju Enterprise, sebuah syarikat pembekal hasil marin yang segar seperti ikan bilis dan ikan masin yang terkenal di Labuan. Syarikat yang  diuruskan oleh Melvin Teo Twan Ann itu beroperasi di Simpang Canggih, Kampung Belukut.

TLG Maju Enterprise membekalkan pelbagai jenis ikan bilis dan ikan masin dengan harga yang berpatutan kepada pemborong, peruncit, masyarakat tempatan, dan pelancong. Kini, syarikat yang mempunyai beberapa orang pekerja wanita itu giat beroperasi semula untuk memenuhi permintaan daripada masyarakat setempat dan pelancong, lebih-lebih lagi  setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan dan pembukaan semula sempadan negeri.

Ikan bilis atau nama saintifiknya, Engraulidae terdiri daripada 140 spesies yang boleh ditemukan di Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Pasifik, Laut Hitam, dan Laut Mediteranean.

Ikan bilis dikelaskan sebagai ikan berminyak. Ikan berminyak ialah spesies ikan dengan minyak dalam tisu lembut dan di rongga coelom di sekitar usus. Filetnya mengandungi minyak hingga 30% walaupun jumlah ini mungkin berbeza antara spesies. Ikan berminyak termasuklah ikan pakan kecil seperti sardin, ikan hering dan ikan bilis, ikan pelagik lain yang lebih besar seperti salmon, trout, tuna, ikan todak, dan ikan tenggiri.

Penulis pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah kotak kecil yang berisi beberapa kilogram ikan bilis dan ikan masin yang dibungkus rapi. Penulis gembira kerana dalam kunjunganpada kali ini, penulis dapat membawa pulang buah tangan istimewa.  Labuan  bukan hanya coklat, tetapi juga hasil marinnya.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.