13 Oktober 2021, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Inovasi memerlukan idea, kehendak dengan daya usaha yang tinggi untuk melakukan perubahan. ‘Hendak Seribu Daya’ amat bertepatan dengan prinsip peri pentingnya anjakan paradigma dalam membawa perubahan drastik kepada organisasi. Perubahan kepada sistem, prosedur, kaedah serta cara bekerja perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan serta memberikan faedah kepada pelanggan”, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin semasa merasmikan Majlis Inovasi DBP 2020/2021 pada pagi ini.

Menurut YB Datuk Mohamad Haji Alamin, dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0, sebanyak tujuh pekerjaan yang tidak akan terjejas, iaitu bidang industri kreatif, teknologi informasi, profesional, pengurusan, kesihatan, pendidikan, dan pembinaan.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, terdapat empat cabaran utama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0. Pertama, mengubah bukan sahaja apa-apa yang kita lakukan, sebaliknya menuntut anjakan pemikiran tentang siapakah kita pada era Revolusi Industri 4.0? Kedua, mempengaruhi persekitaran ekonomi, politik, sosial, dan budaya. Ketiga, memaksa kita untuk mentakrifkan sempadan moral dan etika kesan perubahan yang drastik, dan yang keempat ialah “nyahkemanusiaan” (dehumanisation) kerana perkembangan teknologi yang pesat telah mengurangkan peranan manusia.

Gagasan Masyarakat Sejahtera 5.0 pula menuntut masyarakat menguasai kehidupan di alam maya dan di alam fizikal. Gagasan ini merupakan manifestasi era Revolusi Industri 4.0 yang menumpukan pengkomputeran awan melalui ruang virtual dan ruang nyata yang dipacu oleh data raya dan Internet benda (IoT). Inovasi penciptaan, iaitu kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) menjadi tanda aras yang merubah gaya kehidupan masyarakat dalam mengadaptasi teknologi.

Tambah beliau lagi, bagi mendepani cabaran pendigitalan dan usaha DBP untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, transformasi digital yang dilaksanakan oleh DBP amat dibanggakan. Sebagai contohnya, pelantar digital DBP atau JendelaDBP yang dibangunkan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan fungsi DBP merupakan manisfestasi usaha yang dijalankan secara bersungguh-sungguh dengan daya usaha yang ada.

Pelantar yang terdiri daripada komponen Laman Utama, Sohor Kini,           e-Majalah, Ujana atau ruang produk penerbitan DBP, TV DBP dan Radio DBP merupakan inovasi dalam usaha pemusatan data, pembinaan data raya secara bersepadu dan setempat dengan kepelbagaian wadah kandungan digital untuk manfaat masyarakat. Keterangkuman maklumat ini telah menyediakan platform penyampaian perkhidmatan awam yang pantas, cekap dan jimat serta berupaya menyerlahkan imej DBP.

Selain itu, menurut YB Datuk Mohamad Haji Alamin, usaha inovasi menerusi penstrukturan data Kamus Dewan Perdana menggunakan kepakaran dalaman pastinya memberikan impak yang besar kepada masyarakat serta menjadi khazanah ilmu yang unggul yang tidak ternilai harganya. Peperiksaan secara dalam talian, pameran secara digital dan pemantapan Khidmat Pengesahan Bahasa DBP secara dalam talian yang dilaksanakan oleh karyawan DBP memperlihatkan bahawa staf DBP berupaya untuk membawa perubahan dalam persekitaran kerja dan melakukan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan kaedah kerja kerana sebahagian kerja telah diautomasikan.

Mengulas lanjut, inovasi bukan hanya dilihat menerusi penggunaan sistem atau teknologi, malah inovasi boleh dilaksanakan oleh staf DBP melalui pengkaryaan dan penghasilan produk. Bakat staf DBP yang diserlahkan menerusi kreativiti dalam pengkaryaan juga berupaya melahirkan sumber manusia yang berilmu dan berupaya mengorganisasikan pemikiran, kehidupan dan memberikan impak yang baik kepada peningkatan produktiviti organisasi. Begitu juga dengan penciptaan produk atau perkhidmatan. Peluang dan ruang yang ada boleh dimanfaatkan oleh staf DBP untuk merealisasikan inovasi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin merasmikan Majlis Inovasi DBP 2020/2021 secara dalam talian.

Bertepatan dengan tema Hari Inovasi DBP 2020/2021, “Hendak Seribu Daya”, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menjelaskan bahawa aspek inovasi perlu sentiasa diberikan penekanan kerana inovasi ini akan membuahkan hasil dan produk yang lebih baik serta efisien bagi memastikan kelangsungan sesebuah organisasi seperti DBP. Dalam majlis tersebut, beliau amat menitikberatkan aspek peremajaan DBP untuk mempersegarkan keadaan dan memikirkan kaedah kerja yang lain daripada yang lain.

Aspek inovasi ini sememangnya diberikan perhatian. Sebagai contohnya, dalam usaha pendigitalan dan mengautomasi cara kerja di pejabat sejak dahulu lagi. Kita sudah memperkenalkan banyak sistem kerja yang menggunakan aplikasi-aplikasi terbaharu yang membantu mempercepat kaedah dan cara bekerja, misalnya dalam sistem kewangan dan kaedah penyampaian untuk membantu masyarakat memahami hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Kita juga ada menyediakan kaedah baharu untuk membantu masyarakat yang memerlukan nasihat atau panduan penggunaan bahasa yang betul dalam iklan menerusi Khidmat Nasihat Bahasa dan Khidmat Pengurusan Iklan secara dalam talian.

Menurut beliau lagi, dalam konteks semasa, DBP sedang bergerak jauh ke hadapan. Usaha pendigitalan yang sedang dilakukan oleh DBP sekarang melalui pelantar digital DBP merupakan permulaan yang sangat penting untuk melakukan inovasi. Semua penerbitan DBP dipaparkan dalam bentuk digital dan boleh diakses oleh masyarakat secara meluas.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran sedang berucap dalam Majlis Inovasi DBP 2020/2021 secara dalam talian.

Dalam majlis tersebut turut diadakan pelancaran Manual Prosedur Kerja: Perolehan dan Bayaran DBP, penyampaian watikah pelantikan Juruaudit Dalam MS ISO Dewan Bahasa dan Pustaka Sesi 2021-2025 dan Juruaudit Dalam Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Dewan Bahasa dan Pustaka Sesi 2021-2025. Selain itu, terdapat juga acara penyampaian Hadiah Cadangan Inovasi DBP dan penyampaian Anugerah Inovasi dan Citra DBP yang merangkumi Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Program DBP, Anugerah Citra Sahabat DBP, dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP. Majlis diakhiri dengan persembahan lagu puisi oleh kumpulan Lasykar Seni.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.