13 Oktober 2021, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis sambutan Hari Inovasi DBP 2020/2021 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin pada pagi ini secara dalam talian merupakan acara kemuncak yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha dan inisiatif berkaitan dengan aspek kualiti, kreativiti dan inovasi yang telah dilaksanakan oleh warga kerja DBP dan rakan DBP. “Hendak Seribu Daya” merupakan tema yang dipilih pada tahun ini. Tema ini mencerminkan semangat warga kerja DBP dalam melaksanakan tugas walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menjelaskan bahawa pandemik COVID-19 menuntut warga kerja DBP untuk bertindak dengan kreatif dan inovatif dalam kebiasaan baharu. Oleh itu, penganjuran program, aktiviti serta penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan secara dalam talian dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang terkini. Kesediaan warga kerja DBP terhadap perubahan ini memberikan petanda positif dan membuktikan warga kerja DBP komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan walaupun  menghadapi pelbagai rintangan.

Sebagai menghargai usaha tersebut, pada majlis ini DBP turut meraikan pemenang Anugerah Hari Inovasi DBP 2020/2021 dengan menyampaikan hadiah dan anugerah kepada jabatan, bahagian, staf dan rakan DBP yang menunjukkan inovasi dalam kerja dan membawa pembaharuan dalam menjayakan pelbagai program DBP. Hadiah dan anugerah tersebut adalah seperti yang berikut:

·       Hadiah Cadangan Inovasi DBP

·       Anugerah Citra Karya DBP

·       Anugerah Citra Program DBP

·       Anugerah Citra Sahabat DBP

·       Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP

Hadiah Cadangan Inovasi DBP merupakan penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada warga DBP yang telah menyumbangkan cadangan atau idea inovasi penambahbaikan penghasilan produk dan penyampaian perkhidmatan DBP kepada pelanggan. Pemenang bagi kategori ini ialah Puan Mardhiah Othman dari Bahagian Perkamusan. Beliau telah mengemukakan cadangan inovasi tentang konsep pembangunan pamflet menggunakan kemudahan aplikasi papan pemuka (dashboard) mylink.

Seterusnya, penyampaian Anugerah Inovasi dan Citra DBP merangkumi empat kategori. Pertama, Anugerah Citra Karya DBP yang diberikan kepada karyawan DBP yang menghasilkan penulisan ilmiah dan kreatif hingga berjaya meningkatkan citra DBP dan memberikan impak kepada DBP untuk menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu. Pemenang anugerah ini bagi kategori karya ilmiah telah dimenangi oleh Encik Muhammad Fadhli Al-Akiti dari Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan dengan penghasilan karyanya yang bertajuk “Homaj Intertekstualiti P.Ramlee pada Pendekar Bujang Lapok: Daripada Sanshiro Sugata, Karya Awal Akira Kurosawa”. Bagi kategori karya kreatif pula telah dimenangi oleh Puan Hasni Jamali dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja yang mempertaruhkan penulisannya yang bertajuk “Saat Hujan Turun” (Skrip Drama Radio).

Anugerah Citra Program DBP pula merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada program atau projek yang dinilai sebagai terbaik dan berjaya meningkatkan citra DBP. Kamus Dewan Perdana yang menjadi rujukan utama masyarakat, pendidik, pelajar, pengkaji dan pencinta bahasa berjaya meraih anugerah ini sekali gus memberikan impak yang besar dalam menyebarluaskan serta memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

Bagi menghargai pihak luar sama ada kepada individu, persatuan, syarikat, pertubuhan, agensi, dan sebagainya yang telah memainkan peranan penting dalam membantu DBP memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu, Anugerah Citra Sahabat DBP telah diberikan kepada mereka yang terlibat. Bagi kategori individu, anugerah ini telah diberikan kepada Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dan Encik Saadin Abdullah.

Anugerah Citra Sahabat DBP ini juga dianugerahkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi dan Majlis Sukan Negara (kategori sektor awam), Translife Education Sdn. Bhd. (kategori sektor swasta), Kelab Siam Sektor Awam, Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (kategori persatuan atau pertubuhan). Seterusnya, bagi kategori media elektronik, anugerah ini diraih oleh Radio Sinar FM.

Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP turut disampaikan dalam majlis ini yang merupakan suatu pengiktirafan kepada hasil inovasi yang telah dilaksanakan oleh jabatan, cawangan, wilayah, bahagian atau unit, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan serta peningkatan citra DBP.

Usaha gigih Jabatan Penerbitan dalam menghasilkan inovasi, mereka bentuk suatu platform digital, iaitu  JendelaDBP yang menjadi wahana untuk DBP menempatkan bahan-bahan penerbitan digital DBP di bawah “satu bumbung” di samping mempromosikan dan memasarkan sendiri produk penerbitan DBP telah membuahkan hasil kerana dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2020/2021 pada hari ini.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran mengucapkan tahniah dan syabas kepada kesemua penerima hadiah dan anugerah inovasi bagi tahun 2020/2021. Beliau menyatakan bahawa ketersediaan untuk berubah dan berinovasi merupakan kunci utama kejayaan organisasi ini. Beliau berharap agar staf DBP akan terus berusaha bagi meningkatkan kreativiti dan melakukan inovasi untuk menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang terbaik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.