Oleh Ritah Yahaya
10 Oktober 2021, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia kini mempunyai kira-kira 500 orang ahli psikiatri dengan nisbah seorang ahli psikiatri untuk lebih kurang 100 000 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar).

Beliau berkata, nisbah yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah seorang ahli psikiatri untuk 10 000 orang. Oleh itu bagi mengimbangi perbezaan itu dengan berkesan, profesional penjagaan kesihatan lain perlu meningkatkan kemahiran  menilai dan menguruskan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

“Malaysia kini mempunyai lebih daripada 57 000 orang doktor, dengan doktor am terdiri daripada 6700 orang doktor yang berkhidmat di bandar dan di luar bandar. Kaedah paling berkesan adalah untuk memperkasakan doktor ini dan doktor keluarga.

“Ini tetap menjadi tumpuan dalam kebanyakan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar, melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang mencukupi dan rawatan terkini dalam psikiatri akan menjadikan mereka dalam keadaan baik mendiagnosis penyakit mental dalam masyarakat untuk pengesanan awal. Gangguan mental adalah antara keadaan kesihatan yang paling biasa di seluruh dunia. Oleh itu perlu dianggap keutamaan kesihatan global,” ujar beliau.

Dr. Noor Hisham berkata demikian dalam ucap utama pada Training Day in Psychiatry Hari Kesihatan Kesihatan Mental Sedunia 2021 anjuran Akademi Perubatan Malaysia serta Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia, yang diadakan secara maya hari ini. Program latihan secara maya yang bertemakan “Kesihatan Mental dalam Dunia Berbeza” itu memaparkan pelbagai topik penting daripada kemurungan hingga penyakit mental pada kanak-kanak, mengumpulkan lebih 600 orang doktor dari pelbagai bahagian rangkaian rawatan kesihatan.

(Sumber berita: Harian Metro)

(Sumber gambar: New Straits Times)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.