7 Oktober 2021, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan semakin membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan. Pemanasan global menjadi punca utama pencairan ais di kawasan kutub. Pemanasan global merupakan fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang membabitkan kumpulan gas seperti karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), klorofluorokarbon (CFC), metana, dan nitrogen oksida yang menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas tersebut membenarkan bahang matahari menembusinya, namun menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera. Amerika Syarikat meramalkan suhu dunia akan meningkat hingga 45ºC menjelang tahun 2030.

Pemanasan global berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia, antaranya termasuklah perindustrian, pengangkutan, pembalakan, pembakaran hutan, pertanian, dan penternakan. Peningkatan suhu dunia secara mendadak bermula sejak zaman revolusi perindustrian apabila manusia menggunakan bahan api fosil secara meluas, terutamanya dalam sektor perindustrian dan pengangkutan.

Akibat pemanasan global, ais di lautan dan daratan akan mencair dengan lebih banyak menjelang tahun 2030. Pencairan ais di sebahagian kawasan Artik akan berlaku dengan lebih pantas menjelang tahun 2050 sekiranya suhu di Artik menjadi panas, iaitu hingga -8.88ºC. Pemanasan global juga telah menyebabkan ais di Antartika mencair, berlaku pecahan lapisan ais dan seterusnya menghanyutkan aisberg.

Para saintis juga meramalkan bahawa air laut akan meningkat sebanyak 1.3 meter menjelang tahun 2100 sekiranya suhu permukaan bumi lebih hangat hingga 3.5ºC. Menjelang tahun 2300, paras air laut boleh meningkat hingga lebih lima meter akibat pencairan kawasan Antartika Barat dan Greenland. Peningkatan paras air laut yang disebabkan oleh pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan juga akan menenggelamkan lebih banyak kawasan rendah, pesisir pantai, pulau, dan negara.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan walaupun terletak jauh dari kawasan kutub. Centre for Governanceand Political Studies (Cent-GPS) mendedahkan bahawa sepanjang kawasan Parit Buntar hingga Taiping, Bagan Datoh, Teluk Intan, Kuala Selangor, Muar, Pekan, Pelabuhan Klang, dan Lebuhraya Utara-Selatan akan tenggelam pada tahun 2050.

Alor Setar pula akan menjadi sebuah pulau, Shah Alam akan mengecil; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berada di sebelah pantai; Kuala Terengganu dan Kuching akan mengecil dan menjadi beberapa buah pulau. Jika perkara ini benar-benar berlaku, jutaan penduduk Malaysia akan terkesan kerana terpaksa berpindah di samping timbul beberapa masalah, antaranya termasuklah kekurangan makanan dan bekalan air bersih, kepadatan penduduk, pengangguran, dan masalah mendapatkan perkhidmatan yang terhad.

Kesimpulannya, pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan memberikan kesan terhadap hidupan di dunia ini. Pencairan ais di kawasan kutub pasti akan berlaku. Walau bagaimanapun, proses pencairan ais perlu dilambatkan. Oleh itu, aktiviti manusia yang menyumbang kepada pemanasan global perlu dikawal. Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan lestari, menanam pokok, mengamalkan kitar semula, dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian merupakan antara langkah untuk mengurangkan kesan pemanasan global.

(Sumber: Dewan Kosmik, Mac 2021)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.