27 September 2021, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 menjadi pemangkin dan pemacu implementasi disruptif teknologi dalam sektor perniagaan runcit. Internet menemukan peniaga dengan pelanggan secara maya. Terdapat peniaga yang mempromosikan produk mereka melalui media sosial, laman sesawang atau di beberapa platform e-dagang lokal seperti ZALORA, LAZADA dan Shopee. Ada juga peniaga yang tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan produk mereka di laman e-dagang antarabangsa seperti Alibaba.com, amazon.com, ebay, dan lain-lain.

Kepelbagaian teknik dan trend pemasaran digital yang berubah setiap hari menyebabkan kualiti penampilan visual produk semakin baik dari sehari ke sehari. Satu daripada trend terkini yang diaplikasikan oleh beberapa buah syarikat antarabangsa ialah teknologi Augmented Reality (AR) atau realiti terimbuh. Syarikat LACOSTE, TESCO, CONVERSE, ZARA, IKEA, dan MTV di luar negara menggunakan teknologi ini dalam penjualan produk dan penyediaan perkhidmatan layanan kepada pelanggan mereka.

AR ialah teknologi yang menggabungkan kandungan digital ke alam realiti dengan cara unjuran (projection) objek maya dua dimensi (2D) atau 3D, dan kemudiannya dipaparkan dan diperlihatkan seperti benar-benar wujud di dunia nyata.

AR dalam Pemasaran dan Pelayanan Pelanggan

IKEA mengaplikasikan teknologi AR bagi membantu pengguna menghiaskan ruang di rumah mereka dengan menggunakan pelbagai produk di gedungnya. Pelayanan membeli-belah berteknologi AR memberikan kemudahan kepada pengguna untuk menghiaskan ruang dengan mengacukan perabot atau aksesori hiasan ke arah ruang rumah mereka.

Pengguna hanya perlu mengacukan kamera telefon pada satu sudut ruang di rumah dan meletakkan objek maya, misalnya sofa idaman ke sudut ruang tersebut. Produk sofa dipilih daripada senarai katalog IKEA dalam aplikasi berkenaan. Apabila gambar sudut atau ruang rumah difokuskan, maka sofa idaman akan dipaparkan secara maya pada skrin telefon. Aplikasi ini berjaya membantu para pengguna dan pelanggan memperoleh gambaran yang memenuhi cita rasa mereka.

DULUX turut menggunakan aplikasi AR dalam melayani dan memenuhi cita rasa para pengguna dan pelanggan untuk memilih warna cat dinding ruang di rumah mereka. AkzoNobel, syarikat induk DULUX membeli aplikasi AR telefon bimbit interaktif bagi memudahkan pengguna memilih warna cat ruang dan dinding secara dinamik.

Sebuah lagi syarikat yang menggunakan teknologi AR dalam pelayanan pelanggannya ialah Gucci. Gucci, jenama fesyen mewah terkenal dengan produk berasaskan kulit, antaranya termasuklah beg tangan, beg, dompet, kasut, dan aksesori mewah.

Terkini, dalam keadaan pandemik COVID-19, Gucci menggunakan aplikasi pelayanan pelanggan untuk menjual produk kasut sniker. Aplikasi ini memerlukan pengguna mengacukan fokus kamera telefon bimbit pada kaki, kemudiannya memilih kasut yang tersedia dalam senarai katalog aplikasi tersebut. Kaedah ini amat menjimatkan masa dan memudahkan pelanggan serta jurujual.

Pasar raya juga boleh mengambil manfaat daripada teknologi AR. Dalam situasi pandemik, pengguna amat berhati-hati apabila ke pasar raya dan memilih barangan di rak. Produk yang disentuh, dibelek, yang kemudiannya diletakkan semula akan memberikan kesan kepada kualiti kebersihan produk berkenaan. Teknologi AR bagi produk di pasar raya berkemungkinan akan muncul pada suatu hari nanti berdasarkan artikel dalam laman sesawang Retail Information News yang berpusat di Amerika Syarikat yang disiarkan pada 20 Januari 2021.

Mungkin banyak pengguna yang kurang menyedari penggunaan AR dalam kehidupan mereka. Pada masa akan datang, teknologi AR akan terus berkembang pesat. Perkembangan pesat ini bukan sahaja dalam bidang pemasaran dan penjualan, malah dalam bidang pendidikan dan latihan, kesihatan, makanan dan minuman, industri petroleum, industri perkilangan, dan sebagainya. Oleh itu, sinergi pelanggan, peniaga dan syarikat berjenama, platform e-dagang serta pakar pembangun aplikasi AR perlu terus disepadukan untuk memacukan kemajuan dan mewujudkan kebijaksanaan dalam amalan gaya hidup digital pada masa depan.

Dr. Siti Salwa Salleh ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA Kampus Seremban, Negeri Sembilan.

(Sumber: Dewan Kosmik, Oktober 2021)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.