Oleh Chee Beng Jin
27 September 2021, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kacang telang atau Clitoria ternatea ialah sejenis herba pepanjat yang mempunyai batang yang liat dan akar berkayu. Daunnya jenis majmuk yang mempunyai lebih kurang lima helai hingga tujuh helai anak daun berbentuk elips dan tersusun secara berselang.

Bunga kacang telang berwarna biru dengan bahagian tengahnya putih atau kekuningan. Terdapat juga varieti yang berbunga putih. Buahnya berbentuk lenggai atau pod yang leper dan mengandungi antara enam biji hingga 10 biji yang berwarna hitam atau perang. Herba ini lazimnya dijumpai di tanah pamah dan kawasan tanah tinggi 1500 meter di atas aras laut.

Pada kebiasaannya, kacang telang ditanam menggunakan biji benih di tanah yang bersaliran baik dan mendapat cahaya matahari yang banyak. Kacang telang juga sesuai dijadikan tanaman hiasan di taman bunga dan di halaman rumah kerana warna biru bunganya yang menarik. Pokok ini selalunya akan berbunga selepas empat bulan ditanam dan akan menghasilkan bunga sepanjang tahun.

Kegunaan dalam Perubatan Tradisional

Bahagian akar kacang telang dan daunnya digunakan untuk tujuan perubatan bahagian urogenital, membuang parasit seperti cacing dalam badan dan sebagai penawar sengat haiwan berbisa. Bahagian bunga, batang dan akar pokok kacang telang dicampurkan untuk merawat gigitan ular atau sengatan jengking.

Sementara itu, dalam ilmu perubatan tradisional Melayu, air daun dan lenggai kacang telang diminum dan digunakan untuk membasuh muka. Rawatan ini dipercayai dapat menjaga kesihatan mata. Lenggai yang muda boleh dibuat sayur. Walau bagaimanapun, lenggai yang tua tidak boleh dimakan kerana mengandungi racun.

Kajian Saintifik

Dalam satu kajian terhadap sel barah paru-paru A549, sejenis sebatian kimia semula jadi, iaitu siklotida yang dipencilkan daripada bahagian bunga dan biji kacang telang diuji terhadap sel A549 secara in-vitro. Para penyelidik mendapati bahawa siklotida yang diuji dapat menghalang pertumbuhan sel barah tersebut.

Dalam kajian makmal awalan yang menggunakan haiwan pula, ekstrak metanol bahagian akar kacang telang ditemui mempunyai kesan antiradang dan dapat mengurangkan keadaan bengkak pada anggota haiwan.

Seterusnya, dalam kajian yang berasingan, ekstrak etanol daripada bahagian daun muda menunjukkan kesan antipiretik, iaitu keupayaan untuk menurunkan suhu badan. Suhu badan haiwan makmal boleh ditingkatkan dengan memberikan suntikan yis dan peningkatan suhu badan akan disukat pada bahagian rektal badan tikus. Keputusan uji kaji merakamkan kesan antipiretik ekstrak terhadap haiwan yang menerima rawatan. Ekstrak tersebut berupaya menurunkan suhu badan dan kesannya didapati setanding dengan ubat parasetamol.

Selain itu, ekstrak akuas daripada akar kacang telang pernah diuji terhadap tikus untuk melihat kesannya terhadap rangsangan otak, terutamanya dari segi meningkatkan daya ingatan atau memori.

Fakta Menarik

  1. Dalam amalan tradisional, bidan akan menyapukan air perahan bunga kacang telang di kening bayi. Amalan ini dipercayai dapat melebatkan pertumbuhan bulu kening dan memelihara kesihatan mata bayi.
  2. Warna biru bunga kacang telang adalah disebabkan oleh kehadiran bahan kimia semula jadi, iaitu antosianin. Pigmen biru ini sangat dikenali dalam kalangan masyarakat di Asia sejak dahulu. Sedikit pewarna biru yang dimasukkan dalam nasi kerabu, menjadikannya satu juadah unik dan popular. Selain itu, pewarna biru ini juga digunakan dalam banyak resipi makanan, terutamanya dalam penyediaan kuih-muih tradisional seperti seri muka dan pulut tekan.
  3. Nam-an-chan ialah sejenis teh tradisional di negara Thai disediakan daripada bahagian bunga kacang telang yang dikeringkan. Minuman tradisional yang berwarna biru keunguan ini dipercayai mempunyai kesan yang menenangkan fikiran, melegakan masalah sakit perut, menyuburkan rambut, dan mengurangkan sakit ketika haid. Teh ini selalunya dihidangkan selepas makan dan dinikmati dalam keadaan panas atau ditambah dengan ais.
  4. Pokok kacang telang juga ditanam untuk memulihkan sesuatu kawasan tanah yang gersang dan terbiar. Pada nodus akarnya terdapat hubungan simbiotik dengan bakteria tanah. Proses simbiosis ini berupaya mengikat gas nitrogen dari atmosfera dan dapat memperkaya komposisi tanah selepas berlakunya pereputan bahagian akar.
  5. Pakar bidang kejuruteraan bahan mendapati ekstrak akua bunga kacang telang dapat melindungi bahan keluli daripada hakisan asid sulfurik. Penemuan ini dapat membantu pakar bidang kejuruteraan mencari bahan alternatif untuk melindungi struktur bahagian keluli di bangunan atau binaan daripada pencemar berasid dalam persekitaran.

Chee Beng Jin ialah Pegawai Penyelidik di Bahagian Hasilan Semula Jadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Sumber artikel: Dewan Kosmik, Mei 2021.

Sumber video: Dr. Yu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi