24 September 2021, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Senduduk atau nama saintifiknya Melastoma malabathricum L. ialah tumbuhan yang berasal daripada famili Melastomataceae. Senduduk merupakan pokok renek dan bercabang yang boleh mencapai hingga 3 meter. Daunnya yang hijau berbentuk elips yang semakin menirus ke arah hujung dan panjangnya boleh mencapai hingga 7 sentimeter (sm). Daunnya juga berbulu antara tiga urat hingga lima urat memanjang yang ketara dengan batang daunnya berwarna kemerahan. Bunganya bersaiz besar dan lebarnya boleh mencapai hingga 7 sm. Daunnya mempunyai lima helai kelopak berwarna ungu dan stamen berwarna kuning di hujung ranting.

Buah senduduk dikelaskan sebagai buah beri. Apabila buah senduduk masak, buahnya akan terbuka lalu mendedahkan pulpa yang lembut, berwarna ungu, rasa yang kelat dan biji berwarna jingga. Bijinya tidak mempunyai rasa dan meninggalkan kesan berwarna hitam apabila dimakan, menyebabkan namanya dikenali sebagai melastoma (mulut hitam) dalam bahasa Yunani. Senduduk di Malaysia tumbuh di kawasan hutan gunung dan tanah rendah, terutamanya di kawasan lapang.

Terdapat pelbagai manfaat senduduk yang dilaporkan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu, Indonesia, Bangladesh, dan India. Senduduk boleh mengubati pelbagai penyakit. Walau bagaimanapun, manfaatnya tidak disokong oleh data klinikal. Daun senduduk ditumbuk dan dijadikan pes lalu ditampal pada luka untuk menghentikan pendarahan. Daun senduduk juga dihiris dan diperah untuk mendapatkan jusnya bagi menghentikan pendarahan.

Jus senduduk pula digunakan sebagai diuretik. Daun senduduk boleh dimakan untuk merawat sakit gigi dan sebagai ubat selepas bersalin. Daun senduduk juga digunakan untuk merawat ulser, gastrik, buasir, demam, kesan parut cacar, jerawat, dan bintik hitam di kulit. Air rebusan atau jus daun senduduk diminum untuk mengubati disenteri dan cirit-birit. Anak daun senduduk juga boleh dimakan untuk merawat cirit-birit dan disenteri.

Seterusnya, bunga senduduk pula digunakan dalam perubatan tradisional sebagai sedatif saraf untuk pendarahan semasa buasir. Manakala, di India, bunga senduduk digunakan untuk merawat barah. Seduhan bunga senduduk merupakan ramuan pilihan yang ditambahkan pada penawar untuk merawat anemia yang dikaitkan dengan pendarahan gastrousus dan sakit epigastrik.

Pucuk senduduk dimakan untuk mengubati jangkitan nifas, tekanan darah tinggi dan kencing manis. Jus senduduk boleh digunakan sebagai ubat kumur untuk melegakan sakit gigi atau merawat leukorea. Akar senduduk berfungsi sebagai ubat cuci mulut untuk melegakan sakit gigi atau merawat leukorea.

Selain itu, pokok senduduk juga berupaya merawat sawan, mengurangkan reumatisme dan artritis. Senduduk juga membantu menyembuhkan dan menguatkan rahim wanita selepas bersalin. Jusnya digunakan untuk mengurangkan kesakitan kanak-kanak yang mengalami seriawan serta merawat leukorea dan penyakit kuning. Air rebusan akar senduduk dapat merawat cirit-birit dan leukorea.

Beberapa bahagian pokok senduduk juga boleh digabungkan untuk merawat pelbagai penyakit. Daun dan bunga senduduk digabungkan untuk mengubat taun, cirit-birit kronik, demam berpanjangan, disenteri, leukorea, luka, dan penyakit kulit. Gabungan daun dan bunga senduduk juga berfungsi sebagai ubat kumur.

Air rebusan akar dan daun senduduk digunakan untuk menguatkan rahim dan mempercepat penyembuhan luka, mengurangkan pendarahan haid berlebihan, senggugut, keputihan, sakit perut, dan meningkatkan kesuburan. Serbuk akar dan daun senduduk yang digabungkan diletakkan pada luka dan parut cacar untuk membantu proses penyembuhan atau digunakan untuk melegakan ketidakselesaan semasa buasir. Gabungan bunga, biji dan daun juga dapat mengurangkan keputihan dan ketidakhadaman. Daun dan kulit kayu senduduk pula digunakan untuk merawat leukorea, cirit-birit dan disenteri.

Banyak kajian yang dijalankan untuk membuktikan keberkesanan pokok senduduk sebagai penawar pelbagai penyakit. Satu kajian ketoksikan akut dijalankan pada tahun 2009 oleh Sunilson et al. untuk menentukan tahap ketoksikan akut dalam ekstrak air daun senduduk. Ekstrak air daun senduduk diberikan kepada sampel tikus dalam dos 62.5 mg/kg, 125 mg/kg, 250 mg/kg, 500 mg/kg, 100 mg/kg, dan 2000 mg/kg. Simptom dan tanda umum ketoksikan, kemasukan air serta makanan dan kemortalan direkodkan selama 48 jam. Kajian ini menunjukkan sampel tikus tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelemahan dan kemortalan.

Kesimpulannya, senduduk merupakan tumbuhan aktif secara biologi dan popular sebagai ubat bagi pelbagai penyakit dalam perubatan tradisional. Walaupun terdapat pelbagai kegunaan senduduk dalam perubatan tradisional, kajian saintifik yang dijalankan untuk membuktikan keberkesanan tumbuhan ini agak terhad. Penyelidikan dan kajian tentang senduduk perlu ditingkatkan supaya potensi farmakologikalnya boleh dikaji secara menyeluruh, seterusnya membawa kepada pembangunan ubat baharu pada masa hadapan.

(SumberDewan Kosmik, Julai 2021)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.