23 September 2021, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seminar Falak Nusantara (SARAS) merupakan wadah pencerahan tentang ilmu falak atau astronomi dan perkongsian idea mengenai kajian baharu dalam bidang falak atau astronomi. Penganjuran SARAS pertama yang diadakan dari 17 Oktober 2018 hingga 18 Oktober 2018 berjaya menarik minat banyak peserta. Seminar kedua yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19. Seminar berimpak yang melibatkan tenaga penceramah mahir dari dalam negara dan luar negara itu akhirnya berlangsung secara dalam talian dari 21 September 2021 hingga 22 September 2021.

SARAS 2021 melalui aplikasi zoom dan di Facebook Southeast Asia-Regional Astronomy Seminar-SARAS dan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) bertemakan “Ilmu Falak, Masyarakat dan Revolusi Industri 4.0”. Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Haji Idris Haji Ahmad.

Objektif seminar tersebut, antaranya termasuklah (i) memberikan pendedahan khusus kepada golongan sasaran mengenai teori dan aplikasi ilmu falak atau astronomi di nusantara; (ii) memberikan peluang kepada golongan sasaran untuk mendapatkan dimensi baru ilmu falak atau astronomi, khususnya di Nusantara dan (iii) membuka diskusi ilmiah dalam ilmu falak atau astronomi antara negara serantau. Antara subtema dalam seminar ialah astronomi Islam, astronomi cerapan, astronomi teori, astronomi komuniti, sejarah astronomi atau falak, dan astronomi budaya.

Syarahan ulung seminar tersebut menampilkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan Malaysia, Orang Kaya Imam Paduka Tuan Perak, Dato’ Dr. Afifi al-Akiti. Slot tersebut dipegerusikan oleh Pengarah Ukur Seksyen, Seksyen Graviti dan Falak, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Sr Muhammad Daud bin Mahdzur diadakan pada hari pertama SARAS 2021 jam 2.20 petang.

Ucap utama SARAS 2021 disampaikan oleh Profesor Kehormat, Department of Fiqh and Usul, Universiti Malaya (UM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Zambri dengan tajuk “Pendidikan Astronomi di Era Semasa”. Penolong Mufti Kanan, Ketua Bahagian Falak di Jabatan Mufti Selangor, Hardi Mohamad Sadali bertindak selaku moderator.

Ahli astrofizik dari Algeria yang merupakan professor di American Univesiti of Sharjah, UAE, iaitu Profesor Dr. Nidhal Guessoum. menyampaikan ucap utama kedua bertajuk “Islamic Astronomy in The 21st Century”, Slot ucap utama tersebut diadakan pada 22 September 2021. Moderator majlis tersebut ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamaddin Abdul Niri.

Terdapat lima pembentang utama dalam Saras 2021, iaitu (i) pensyarah Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara, Indonesia, Dr. Awin Juli Rakhmadi dengan tajuk “Tipologi Kajian Ilmu Falak di Dunia Islam”, (ii), pakar dalam bidang astronomi dari The National Astromonical Observatory of Japan (NAOJ), Dr. Kumiko Usuda-Soto dengan tajuk pembantangan beliau, “Menikmati Alam Bersama Pelbagai Jenis Masyarakat: Astronomi Inklusif dan Sains Rakyat”, (iii) Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan di JUPEM, Dato’ Sr Dr. Azhari Mohamed dengan tajuk pembentangan beliau, “Mencari Latitud dan Longitud: Dari Bintang ke Satelit”, (iv) pakar astronomi dari Gunma Astronomical Observatory, Japan, Dr. Osamu Hashimoto dengan tajuk “Aktiviti Saintifik dengan 150 sentimeter Teleskop di Balai Cerap Astronomi Gunma”, dan (v) Pensyarah Kanan Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon dengan tajuk “Arkeologi Galaksi Melalui Bintang Halo”.

Selain ucap utama dan pembentangan utama, seminar dua hari tersebut diadakan secara selari dengan sesi pembentangan 18 buah kertas kerja oleh pakar dalam bidang ilmu falak dan astronomi. Seminar tersebut berupaya menambahkan ilmu dan memupuk minat masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda berkaitan dengan bidang falak atau astronomi.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi