Oleh Ritah Yahaya
15 September 2021, 22:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Pulau Pinang dijangka menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kedua dengan penyenaraian Bukit Bendera (Penang Hill) sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

Permohonan Pulau Pinang yang mengusulkan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera baharu akan diputuskan pada hari ini dalam mesyuarat International Coordinating Council of Unesco’s Man and the Biosphere Programme

(MAB-ICC)  yang sedang berlangsung di Abuja, Nigeria dari 13 September 2021 hingga 17 September 2021.

Perbadanan Bukit Bendera (Penang Hill Corporation (PHC)) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dijangka akan mengumumkan penamaan Unesco pagi esok dalam sidang media maya.

Bandar raya George Town, ibu negeri Pulau Pinang, dicatatkan sebagai tapak Warisan Dunia UNNESCO pada tahun 2008.

Pulau Pinang mengemukakan permohonan kepada UNESCO pada 30 September 2020 setelah empat tahun kerjasama antara PHC dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan, Yayasan Habitat, agensi swasta, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Malaysia kini mempunyai dua khazanah semula jadi yang menerima pengiktirafan antarabangsa tersebut, iaitu Tasik Chini di Pahang yang diwartakan pada tahun 2009 dan Banjaran Crocker di Sabah yang diwartakan pada tahun 2014.

Zon lingkungan terlibat untuk Rizab Biosfera Pulau Pinang berkeluasan 12 681 hektar dengan 7285 hektar meliputi kawasan daratan, dan 5196 hektar (25%) meliputi lautan atau marin. Zon ini termasuklah Bukit Bendera sebagai kawasan utama, diikuti Taman Negara Teluk Bahang, Taman Botani Pulau Pinang, enam buah hutan simpanan, termasuklah Hutan Simpan Laksamana dan dua buah empangan, iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam.

Rizab Biosfera didefinisikan oleh UNESCO sebagai lokasi yang terdiri daripada kawasan daratan dan marin atau gabungan setiap satunya diiktiraf secara berperingkat di bawah program UNESCO Man and The Biosphere (MAB) atau Program Manusia dan Biosfera.

Idea untuk mencalonkan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera UNESCO pertama kali dicetuskan pada tahun 2016 ketika program Bioblitz pertama diadakan di The Habitat Penang Hill (The Habitat) dengan penyelidik Universiti Sains Malaysia di atas bukit.

Menurut UNESCO, beberapa ciri utama rizab biosfera merangkumi mencapai fungsi pemuliharaan yang saling berkaitan; pembangunan dan sokongan logistik; mengadakan skema pengezonan yang sesuai; memberikan tumpuan kepada pendekatan pelbagai pihak dengan memfokuskan penglibatan komuniti tempatan; mengintegrasikan kepelbagaian budaya dan biologi; menunjukkan amalan dan polisi pembangunan lestari yang mantap; dan bertindak sebagai tempat kecemerlangan pendidikan dan latihan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.