11 September 2021, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima perutusan rasmi pengisytiharan penamatan wabak polio di Malaysia daripada Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) semalam.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, pengisytiharan ini dibuat berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang melaksanakan penilaian menyeluruh mengenai tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio di Malaysia. Berdasarkan penilaian itu, usaha Malaysia mengawal dan mencegah wabak tersebut diiktiraf sebagai kejayaan menghentikan penularan wabak polio.

Penyakit polio ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Selain itu, penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Pada penghujung tahun 2019, Malaysia dikejutkan dengan satu kes penyakit polio yang dikesan di Sabah. Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan dan masih diteruskan walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19.

KKM mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara. AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio. Aktiviti survelan ini melibatkan ujian pengesanan virus polio melalui sampel najis bagi setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah 15 tahun.

KKM juga melakukan persampelan air kumbahan untuk mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran. Dari 1 Januari 2019 hingga 9 September 2021, sebanyak 1124 sampel air kumbahan diambil di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, virus polio dikesan dalam 25 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah, dan satu sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan Labuan. Sampel persekitaran positif virus polio yang terakhir dikesan adalah pada 1 Julai 2020.

Menurut beliau, “Kempen lmunisasi Polio dilaksanakan secara berperingkat oleh KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio. Kempen ini melibatkan pemberian vaksin oral polio atau Oral Polio Vaccine (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah.”

lmunisasi polio melalui Program lmunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio. Imunisasi polio diberi melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib), yang mengandungi komponen antigen polio kepada kanak-kanak yang berumur dua tahun, tiga tahun, lima tahun, dan 18 bulan. Pada penghujung tahun 2020, berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK, yakni vaksin lima serangkai ini ditukarkan kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib).

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia, terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Mereka ialah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemlk COVID- 19.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada badan antarabangsa, termasuklah WHO, United Nations Children’s Fund (UNICEF) dan Global Polio Eradication Initiative (GPEI) yang bersama-sama membantu Malaysia mengawal penularan wabak polio di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau berharap agar orang ramai terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.

Kita perlu memastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio, dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain itu, KKM akan memastikan survelan AFP dan survelan persekitaran yang berkualiti akan terus dllaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan.

(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.