9 September 2021, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan hantaran melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), “Happy hypoxia” ialah satu keadaan pesakit COVID-19 kategori 4 yang sepatutnya memerlukan bantuan oksigen, tetapi tidak menyedari bahawa mereka mempunyai kadar oksigen yang rendah dan hanya berasa lesu tanpa mengalami kesukaran bernafas.

Golongan yang berisiko untuk mengalami fenomena ini ialah pesakit COVID-19 yang berada pada tahap yang teruk, terutamanya golongan yang berusia 40 tahun ke atas serta mempunyai komorbid. Antara gejala yang berkemungkinan menunjukkan oksigen yang rendah dalam darah ialah pesakit tersebut mengalami kelesuan yang teruk, berpeluh dengan banyak walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal dan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan.

Pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah perlu ke hospital segera jika mengalami kesukaran bernafas atau mempunyai gejala yang berkaitan dengan happy hypoxia atau bacaan oksimeter nadi (pulse oximeter) menjadi rendah. Hubungi talian kecemasan (999) atau COVID-19 Assesment Centre (CAC) yang berdekatan.

Individu yang mempunyai oksimeter nadi, dinasihatkan agar membuat pemantauan kadar oksigen melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan. Alat yang digunakan juga haruslah memenuhi standard perubatan. Tindakan ini merupakan satu daripada cara untuk memantau tahap oksigen kita.

Maklumat terkini berkaitan dengan COVID-19 dan info kesihatan lain boleh didapati di Telegram rasmi KKM.

(Sumber): Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.