Oleh Ritah Yahaya
4 September 2021, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Safinah Saupi

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, cuaca paling panas di Malaysia direkodkan pada tahun 2016 dan 1998. Pada tahun 2016, cuaca panas tertinggi direkodkan di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis dengan suhu 38.5 ⁰C. Pada tahun 1998, suhu tertinggi, iaitu 40.1⁰C direkodkan di Chuping Perlis. Purata suhu di Malaysia juga semakin meningkat daripada 0.13⁰C kepada 0.24⁰C setiap 10 tahun, iaitu antara tahun 1969 dengan 2014. Aliran kepanasan jangka panjang dan kritikal ini dijangka berterusan pada tahun akan datang jika gesaan kepada dunia untuk menghadkan peningkatan suhu kepada 1.5 ⁰C tidak dipedulikan oleh dunia.

Laporan terbaharu Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) mendedahkan bahawa pemanasan global akan mencapai 1.5⁰C antara tahun 2030 dan tahun 2052 jika pelepasan karbon dioksida terus meningkat pada kadar semasa. Sesetengah penyelidik meramalkan bahawa paras 1.5⁰C akan dicapai lebih daripada yang dijangkakan.

Penyelidik dari Central Climate (sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat) meramalkan dalam tiga dekad akan datang, beratus juta penduduk di seluruh dunia berisiko kehilangan rumah mereka disebabkan seluruh kota akan tenggelam di bawah kenaikan paras laut. Menurut laporan itu lagi, paras laut global dijangka meningkat antara dua kaki hingga tujuh kaki (antara 0.6 meter hingga 2.1 meter). Pada abad ke-21, paras laut global berkemungkinan akan meningkat.

Asia merupakan sebuah wilayah yang paling mudah terjejas akibat kenaikan paras air laut. Tanpa pertahanan lautan yang mencukupi, seluruh kota persisir pantai akan lenyap di beberapa buah tempat. Dilaporkan bahawa kira-kira 70% penduduk berisiko menghadapi banjir setiap tahun dan kekal digenangi air di lapan negara di Asia. Negara tersebut antaranya termasuklah China, Bangladesh, India, Vietnam, Indonesia, Thai, Filipina, dan Jepun.

Dalam hal ini, memilih produk menggunakan sumber air, tenaga dan bahan mentah yang sedikit untuk menghasilkannya adalah sangat penting. Contoh yang paling baik ialah penggunaan air. Kira-kira 15 415 liter air diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram daging. Memakan diet vegan boleh menjadi “satu cara terbesar” untuk mengurangkan kesan alam sekitar terhadap bumi ini.

(Sumber: Dewan Kosmik, Mei 2021)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi