Oleh Ritah Yahaya
4 September 2021, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Empat orang wanita Malaysia memenangi biasiswa British Council Women in STEM. British Council, organisasi antarabangsa United Kingdom (UK) dalam hubungan budaya dan peluang pendidikan, mengumumkan pemenang program biasiswa Wanita dalam STEM global.

Empat orang pemenang biasiswa ini akan berangkat ke UK pada musim luruh tahun 2021 ini untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Empat orang penerima biasiswa tersebut ialah Debbie Ann Loh – MSc Kesihatan Awam Antarabangsa di Liverpool John Moores University, Jaiswarry Sundaram – Bioteknologi Industri MSc di Liverpool John Moores University, Nurimanina Najwa Shahrin – MSc Aquatic Pathobiology di University of Stirling, dan Ilyana Hassya Azmannizam – Masa Depan Bumi MSc: Persekitaran, Komuniti, Hubungan di University of Glasgow.

Program biasiswa pascasiswazah yang dibiayai sepenuhnya, dilancarkan secara global oleh British Council dengan kerjasama 19 buah universiti di UK, bertujuan memberikan manfaat kepada wanita dari Asia Selatan, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat yang berhasrat untuk mengikuti kursus STEM yang terkenal di UK, tetapi kurang sumber kewangan.Biasiswa ini diberi kepada wanita dengan latar belakang STEM, yang dapat membantu mereka dari segi kewangan. Pemberian biasiswa ini juga menjadi inspirasi kepada generasi wanita masa depan untuk melanjutkan kerjaya dalam bidang STEM.

“Kami gembira dapat menyokong pengembangan kerjaya wanita dalam bidang sains melalui biasiswa ini, yang menyokong kerjasama dan pertukaran pendidikan yang lebih erat antara UK dengan Malaysia. Kami sangat berharap bahawa kemenangan mereka akan menjadi momen penting dalam karier para wanita ini, dan membuka banyak peluang pada masa depan. Kami juga percaya bahawa wanita ini akan menjadi tauladan kepada generasi saintis wanita g akan datang,” kata Jazreel Goh, Pengarah Malaysia, British Council.

Lima belas biasiswa ini diberi kepada wanita di seluruh Asia Timur, iaitu dari Indonesia, Malaysia, negara Thai dan Vietnam. Penerima Nurimanina Najwa Shahrin yang akan belajar Patobiologi Akuatik di University of Stirling berkata, “Terlalu banyak gadis dan wanita di Malaysia terhalang kerana bias, norma sosial dan harapan yang dipengaruhi oleh stereotaip gender. Mereka kurang diberi perhatian dalam pendidikan dan kerjaya STEM. Saya ingin memotivasikan para wanita tanpa mengira bangsa atau agama, untuk meneroka bidang yang biasanya dikuasai oleh lelaki.”

Penerima biasiswa diperoleh setelah melalui proses tapisan yang ketat bersama-sama ribuan pemohon untuk menerima tawaran belajar yang dibiayai sepenuhnya oleh sebuah universiti bertaraf dunia di UK yang merupakan antara peneraju dunia dalam mata pelajaran STEM.

Penerima biasiswa akan memperoleh bantuan kewangan yang lengkap, termasuklah yuran pengajian, gaji, kos perjalanan, visa, dan kos perlindungan kesihatan disediakan oleh biasiswa, dengan sokongan khas untuk ibu dan bagi mereka yang memerlukan latihan bahasa Inggeris. Sebilangan besar penerima biasiswa akan menempuh cita-cita akademik mereka dalam bidang STEM di universiti UK buat pertama kalinya.

Program biasiswa ini bertujuan untuk meningkatkan peluang dalam bidang STEM untuk kanak-kanak perempuan dan wanita. Menurut data dari Organisasi Pendidikan dan Kebudayaan Ilmiah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30% penyelidik di seluruh dunia terdiri daripada wanita, dan hanya 30% pelajar perempuan memilih bidang yang berkaitan dengan STEM dalam pendidikan tinggi.

Nurimanina Najwa Shahrin yang akan belajar Patobiologi Akuatik di University of Stirling berkata, “Terlalu banyak wanita di Malaysia terhalang kerana bias, norma sosial dan harapan yang dipengaruhi oleh stereotaip gender. Mereka kurang diberi perhatian dalam pendidikan dan kerjaya STEM. Saya ingin memotivasikan wanita, tanpa mengira bangsa atau agama, untuk meneroka bidang yang biasanya dikuasai oleh lelaki.”

“Bakat ada di mana-mana, seseorang itu hanya memerlukan peluang. Saya sangat berterima kasih kepada British Council kerana membuka pintu ini kepada saya. Saya berharap dapat memberikan inspirasi kepada wanita Malaysia untuk meneruskan cita-cita, semangat dan impak mereka dengan berani melalui STEM, ” kata Debbie Ann Loh yang mengikuti Master dalam Kesihatan Awam Antarabangsa di Liverpool John Moores University.

Pusingan kedua Program Biasiswa Wanita dalam STEM 2021–2022 akan diteruskan. Peluang akan tersedia untuk pelajar dari lapan buah negara, antaranya termasuklah Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam, negara Thai, Indonesia, Malaysia, dan Filipina. Maklumat lebih lanjut untuk calon berpotensi akan tersedia di laman web British Council tidak lama lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.