Oleh Ritah Yahaya
4 September 2021, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh:  Kassim Bahali

Banyak orang yang mengetahui bahawa bumi mengelilingi matahari, tetapi tidak banyak orang yang menyedari bahawa pada tarikh tertentu, bumi berada pada titik terdekat dengan matahari semasa mengelilinginya. Antara tarikh 2 Januari hingga 5 Januari pada setiap tahun, bumi akan berada pada titik paling dekat dengan matahari.

Titik paling dekat di antara bumi dengan matahari dinamakan sebagai perihelion. Perihelion merupakan titik terdekat suatu objek langit dengan matahari. Oleh itu, jika bumi berada di perihelion bererti bumi berada pada jarak paling dekat dengan matahari. Pada tahun 2021, bumi berada di perihelion pada 2 Januari.

Bumi berada di perihelion selepas dua minggu fenomena solstis musim sejuk pada 21 Disember. Fenomena solstis musim sejuk berlaku apabila matahari sampai di deklinasi minimum kerana pada tarikh tersebut hemisfera utara mengalami musim sejuk. Fenomena ini berlaku pada 21 Disember setiap tahun. Pada tarikh ini matahari akan berada tepat di garis latitud 23.5 darjah selatan yang dikenali sebagai Garisan Jadi kerana pada tarikh ini, matahari memasuki buruj Jadi. Negara yang berada di garisan ini, antaranya termasuklah Australia Utara, Chile, Brazil, dan Afrika Selatan.

Bumi bergerak mengorbit matahari dalam orbit yang bukan bulatan tepat, tetapi elip. Orbit elip berbentuk lonjong. Jika bulatan mempunyai satu titik tengah, elip pula mempunyai dua titik yang dipanggil “fokus” dan tidak mempunyai jejari yang sama. Oleh itu, jarak titik sepanjang lengkuk elip tidak sama. Ada titik yang jauh dan ada titik yang dekat dengan titik fokus. Keadaan ini sama seperti orbit bumi mengelilingi matahari. Bumi seperti satu titik dalam elip dan matahari berada di antara satu daripada titik fokus.

Bumi akan berada di titik yang paling dekat dengan matahari dan ada ketikanya berada jauh dari matahari. Titik bumi yang berada paling dekat dengan matahari dinamakan sebagai perihelion, manakala titik bumi yang paling jauh dengan matahari dinamakan sebagai aphelion.      

Dr. Kassim Bahali ialah Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Sumber: Dewan Kosmik, Januari 2021)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.