Oleh Ritah Yahaya
4 September 2021, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh:  Aznilinda Zainuddin dan Nornabilah Mohd Anuar

Satu daripada fenomena alam yang sangat menarik ialah fenomena cahaya indah, aurora. Tarikan fenomena alam ini menarik minat ribuan pengunjung saban tahun untuk menyaksikan keindahan aurora. Sekiranya anda mengunjungi kawasan berhampiran dengan Kutub Utara atau Kutub Selatan, anda berpeluang melihat langit yang sangat indah, terang serta dipenuhi dengan cahaya yang berwarna-warni pada waktu malam.

Fenomena aurora dapat dilihat seawal bulan Ogos pada setiap tahun hingga bulan April berikutnya. Fenomena ini dapat dilihat dengan lebih jelas di kawasan yang gelap dan tidak terdedah kepada sumber cahaya (pencemaran cahaya) yang lain. Aurora dapat dilihat di atas ruangan kutub medan magnet bumi di hemisfera utara dan selatan. Borealis aurora boleh dilihat di Kutub Utara, Australis aurora pula boleh dilihat di Kutub Selatan.

Cahaya aurora muncul dalam pelbagai warna. Pada kebiasaannya, cahaya ini kelihatan berwarna hijau dan merah jambu, dan selebihnya adalah dalam tona warna merah, kuning, hijau, biru, dan ungu. Cahaya warna yang berbeza adalah disebabkan oleh jenis zarah gas yang berbeza-beza di ruang atmosfera.

Aurora merupakan zarah bercas dan beradiasi yang dihasilkan oleh matahari, berlanggar dengan zarah gas di ruang atmosfera bumi. Pembentukan aurora terjadi begitu tinggi di ruang  atmosfera bumi, maka pembentukan ini tidak menimbulkan ancaman kepada manusia yang menontonnya dari bumi. Jarak aurora dengan permukaan bumi adalah di antara 100 km hingga 800 km.

Aurora yang merupakan zarah bercas boleh memberikan kesan negatif kepada infrastruktur dan teknologi. Zarah ini menghasilkan arus elektrik yang mengalir hingga ke tanah. Sekiranya arus elektrik yang mengalir adalah tinggi, yakni pada kebiasaannya disebabkan oleh ribut geomagnetik yang tinggi, keadaan ini boleh mempengaruhi saluran kuasa elektrik, saluran paip minyak dan gas, dan rangkaian komputer, serta komunikasi.

Sistem navigasi yang digunakan dalam sistem penerbangan, penggerudian, dan pertanian pintar yang menggunakan teknologi ketepatan Sistem Kedudukan Sejagat atau Global Positioning System (GPS) juga akan terjejas. Bagi mengatasi pelbagai kesan buruk akibat ribut geomagnetik, di sinilah letaknya keperluan dan kepentingan para saintis memantau aktiviti matahari dari semasa ke semasa untuk membuat persiapan, meramalkan dan mengurangkan risiko yang ada.

(Sumber: Dewan Kosmik, Mac 2021)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.