Oleh Azizi Ahmad
30 Ogos 2021, 19:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu penyakit misteri kini sedang menimpa para diplomat, ejen perisik dan pegawai kedutaan Amerika Syarikat dan Kanada di seluruh dunia. Lebih 200 orang diplomat negara tersebut mempunyai gejala yang membimbangkan para doktor. Kes yang pertama dikesan dan dikenal pasti di Cuba, kes itu kemudiannya muncul di Australia, Austria, Colombia, Rusia, dan Uzbekistan.

Apakah faktor penyebab “sindrom Havana”? Pada akhir tahun 2016 di Havana, ibu kota Cuba, beberapa orang pegawai CIA (Central Intelligence Agency) yang bekerja di kedutaan Amerika Syarikat menggambarkan sensasi tekanan serta denyutan di kepala mereka dan bunyian yang kedengaran seperti sekumpulan cengkerik atau reriang (cicada). Mereka turut mengalami loya, keletihan dan menghadapi masalah untuk mengingati sesuatu.

Mereka juga mengadu sakit telinga dan mengalami masalah pendengaran. Pengimejan resonans magnetik yang dijalankan terhadap pesakit menunjukkan bahawa terdapat kerosakan tisu yang menyerupai kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan kereta atau letupan bom.

Kerajaan Amerika Syarikat menjadi takut, lalu menarik keluar lebih daripada separuh kakitangan kedutaannya di kota Cuba itu. Adakah kejadian ini dikaitkan dengan pihak Cuba yang menggunakan senjata misteri yang baharu? Pada mulanya, kerajaan Amerika Syarikat mengesyaki penggunaan senjata sonik, iaitu alat yang menggunakan gelombang bunyi atau suara untuk mengganggu dan membingungkan manusia. Namun begitu, teori ini ditolak dan diketepikan kerana gelombang bunyi pada frekuensi di luar jangkauan pendengaran manusia tidak dapat menyebabkan gejala seperti gegaran otak. Mereka kemudiannya menganggap kejadian tersebut disebabkan oleh gelombang mikro.

Laporan yang diterbitkan oleh National Academy of Sciences, Engineering and Medicine (NASEM) pada tahun 2020 menyimpulkan bahawa pancaran gelombang mikro dapat mengubah fungsi otak tanpa menyebabkan “kerosakan struktur besar”, menjelaskan gejala yang berlaku. Mungkin satu kebetulan, pada tahun 2019, laporan yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA), membuat kesimpulan yang sama.

Menurut laporan NASEM, pihak Rusia menjalankan penyelidikan dengan teknologi gelombang mikro sejak tahun 1950-an. Soviet Union pernah “menyerang” mereka di kedutaan Amerika Syarikat di Moscow. Walau bagaimanapun, pakar gelombang mikro yang lain bersikap lebih berhati-hati.

Kenneth Foster, seorang saintis menjelaskan kejadian tersebut dikaitkan dengan pautan gelombang mikro “menentang kredibiliti”. Ada yang mengemukakan penjelasan ketiga, yang tidak dapat disangkalkan oleh panel NASEM dan JAMA, iaitu sindrom ini dikaitkan dengan penyakit psikogenik massa. Kejadian ini boleh berlaku apabila beberapa individu dalam kumpulan merasakan gejala yang sama, walaupun tidak ada kesan luaran.

Tekanan ekstrem hidup di bawah pengawasan selama 24 jam di Cuba, yang baru sahaja memulihkan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat pada tahun 2015, mungkin menyumbang kepada sindrom ini. Walaupun hampir satu pertiga individu melaporkan kehilangan pendengaran dari serangan di Cuba, ujian standard mendapati bahawa kehilangan sebenarnya berlaku kepada dua orang pesakit daripada sejumlah 21 orang pesakit.

Dalam kalangan lingkungan ahli politik dan saintis, teori serangan terus tersebut memberikan kesan yang mendalam. Beberapa orang penasihat Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengatakan bahawa mereka percaya CIA akhirnya dapat mengesan sindrom Havana (yang disebut oleh pihak pentadbiran sebagai “insiden kesihatan yang tidak normal”) dan menuduh Rusia sebagai dalangnya. Namun begitu, campur tangan politik mungkin akan menghalang fakta saintifik. Tidak kira sama ada sindrom itu disebabkan oleh senjata rahsia, atau bersifat psikogenik, gejalanya nyata dan sering menyakitkan penderitanya.

 

Azizi Ahmad ialah mantan pendidik.  

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.