30 Ogos 2021, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, negara masih berada dalam monsun barat daya dan dijangka akan berterusan hingga pertengahan bulan September 2021. Pada kebiasaannya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah. Hal ini menyebabkan keadaan atmosfera lebih stabil sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

Secara tidak langsung, hal ini juga menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung menerima bilangan hari tanpa hujan yang lebih tinggi berbanding dengan bilangan hari hujan. Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir disebabkan oleh fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah pada awal pagi. Garis badai merupakan garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan hingga beberapa jam.

Cuaca pada Hari Kebangsaan, 31 0gos 2021 diramalkan akan mengalami ribut petir pada waktu pagi dan petang di kebanyakan tempat. Pada sebelah pagi, diramalkan hujan atau ribut petir di satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, dan Betong), Sabah (Kudat, Sandakan dan Tawau), dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi tempat-tempat lain, cuaca baik atau tiada hujan.

Pada waktu petang pula, diramalkan Malaysia akan mengalami hujan atau ribut petir di satu dua tempat di seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah (Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan), serta Wilayah Persekutuan Labuan. Sementara itu, cuaca baik atau tiada hujan diramalkan di tempat-tempat lain.

Seterusnya, cuaca pada waktu malam diramalkan hujan di satu dua tempat di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak (Kapit, Bintulu, Miri, dan Limbang), Sabah (Pantai Barat dan pedalaman), serta Wilayah Persekutuan Labuan. Namun begitu, cuaca diramalkan baik dan tiada hujan di tempat-tempat lain.

Untuk maklumat cuaca terkini, klik di sini atau melalui aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia.

(Sumber: Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air.)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.