Oleh Mazni Mat Zin
27 Ogos 2021, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia adalah antara pengeluar makanan laut yang terbesar di Asia Tenggara, malah tidak hairanlah jika hasil laut merupakan hidangan protein utama masyarakat tempatan. Kajian yang dijalankan oleh The World Wide Fund for Nature (WWF 2020) melaporkan bahawa menjelang tahun 2050, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan berdasarkan berat.

Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa plastik alam sekitar. Sifat plastik yang tahan lama, murah dan mudah didapati menjadikannya pilihan utama untuk digunakan secara meluas oleh masyarakat dan di sektor industri. Peningkatan pengeluaran plastik dunia disebabkan permintaan yang tinggi menjadi punca berlakunya penyelewengan dalam penggunaan dan pengurusan bahan tersebut.

Menyedari isu serius ini, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan “Roadmap Towards Zero Single-Use Plastic 2018-2030” untuk mengawal pengeluaran dan pengurusan sisa plastik. Pembuangan sisa plastik alam sekitar, terutamanya di persekitaran akuatik sekali gus mengundang isu dan masalah sejagat.

Kesan akibat tindakan alam semula jadi seperti cahaya matahari, ombak dan kesan jangka panjang, mengubah sisa plastik kepada partikel yang dikenali sebagai mikroplastik. Mikroplastik ialah kepingan plastik kecil yang panjangnya kurang daripada 5 milimeter yang boleh membahayakan hidupan lautan dan akuatik. Sifat mikroplastik yang kecil inilah yang mengancam kehidupan air.

Terdapat banyak kajian yang dilaporkan mengenai kesan buruk plastik kepada hidupan marin. Ada hidupan laut yang mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik. Lebih dikhuatiri, bahan plastik yang dimakan masih tersimpan dalam sistem badan hidupan laut.

Hal ini sekali gus mencetuskan fenomena mikroplastik yang menjadi tumpuan masyarakat dunia pada hari ini. Hal ini demikian kerana bahan cemar ini menjadi isu yang serius, iaitu isu plastik dalam sistem pencernaan manusia. Kajian demi kajian giat dilakukan, malah sudah terbukti adanya mikroplastik dalam badan hidupan laut yang menjadi sumber protein utama manusia.

Kerang hijau atau nama saintifiknya Perna viridis merupakan antara haiwan yang menjadi tumpuan kerana sifatnya sebagai pemakan menuras atau filter feeder dan menjadi sumber protein kepada manusia. Pengeluaran kerang hijau banyak ditemukan di selatan tanah air, khususya di negeri Johor. Johor ialah pengeluar utama kerang di Malaysia.

Tinjauan penulis di sekitar kawasan penternakan kerang hijau di Selat Tebrau.

Peningkatan kawasan perindustrian, sikap masyarakat dan kegiatan perikanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembuangan plastik dalam air sekali gus menyumbang kepada peningkatan mikroplastik. Mikroplastik dalam kerang menjadi isu serius melibatkan kesihatan manusia kerana manusia memakan kerang secara menyeluruh tanpa perlu mengasingkan saluran pencernaan kerang.

Risiko mikroplastik terhadap kesihatan manusia masih pada peringkat kajian. Walau bagaimanapun, para penyelidik berjaya mengenal pasti beberapa jenis plastik yang boleh melarut dan meresap toksin. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya berasa bimbang jika mikroplastik daripada makanan laut terkumpul dalam tubuh kita melalui rantaian makanan yang mendatangkan impak negatif kepada kesihatan.

Demi menjamin kebersihan hasil makanan laut, masyarakat seharusnya mengambil langkah proaktif seperti mengurangkan pembuangan sisa plastik ke dalam sungai atau laut. Walaupun ramai yang tidak cakna kandungan yang masuk ke dalam makanan mereka, masyarakat perlu mengambil berat akan hal ini kerana ancaman kepada makanan laut bukan sahaja memberi impak kepada individu tetapi menjadi beban kepada sistem kesihatan awam.

Proses pengecaman mikroplastik dalam kerang hijau dilakukan di makmal.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.