26 Ogos 2021, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “64 Tahun Kemerdekaan: Ke Manakah Hala Tuju STEM?” merupakan satu daripada program Ambang Merdeka yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan. Program ini bersiaran secara langsung menerusi media sosial DBP.

Program yang membincangkan isu hala tuju STEM ini dikelolakan oleh Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris, Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, selaku moderator. Antara ahli panel yang terlibat termasuklah Mohd. Khairul Hakimi Mohd Nawi, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

“Dalam mendepani cabaran industri 4.0, generasi muda perlu menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknologi baharu yang lebih kompleks yang menjadi teras dalam industri 4.0,” ujar Noraini.

Menurut Siti Hamisah, sejak Rancangan Malaysia Pertama, Malaysia mempunyai hala tuju STEM pada peringkat pendidikan dan dari segi pembangunan teknologi hingga tertubuhnya MOSTI. Pada masa ini, MOSTI sedang membangunkan Malaysian Start-Ups.

“Bagi mereka yang berkemahiran dalam bidang STEM, banyak peluang untuk membangunkan teknologi, termasuklah pada peringkat kementerian dan agensi lain. MOSTI akan memberikan sokongan dari segi kewangan dan bantuan lain hingga mereka berjaya,” ujar Siti Hamisah.

Tambah Siti Hamisah, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara yang berfungsi menambahkan minat belia untuk mengikuti bidang sains perlu mengadakan pelbagai program STEM bagi menyokong perkara yang diselaraskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

 Semangat kemerdekaan akan lebih bermakna apabila pengisian kemerdekaan dipelopori oleh bakat negara menggunakan ilmu sains, teknologi dan inovasi ke arah membangunkan tamadun Malaysia yang cemerlang.

Mohd Yusoff mengulas peranan STEM dalam dasar kerajaan. Jika tiada STEM, kita tidak boleh melakukan bioteknologi atau nanoteknologi yang merupakan bahan dalam pembuatan industri yang mempunyai banyak peranan dan mendatangkan kebaikan. STEM sangat penting semasa pandemik atau selepas pandemik bagi pembangunan negara. “Penyelidikan perlu diperbanyak, terutamanya semasa krisis pandemik ini supaya kita sentiasa bersedia dengan perkara yang akan berlaku selepas pandemik,” kata beliau.

“Hala tuju STEM di Malaysia pada tahun 2020 masih kompetitif tetapi keupayaan dan keterangkaian masih lemah. Jadi, peluang untuk bekerjasama dengan negara lain adalah terhad. Senario tahun 2030, kita mahu Malaysia bersaing dengan negara maju dengan mengadakan pelbagai program STEM untuk menguatkan keupayaan dan keterangkaian Malaysia bagi mencapai hala tuju STEM yang diinginkan,” ujar Mohd Yusoff.

 Elemen penting dalam perancangan masa depan dalam bidang STEM ialah kita memerlukan inovasi, perkongsian antara kerajaan dengan industri, sentiasa berdaya saing dan mempunyai keterangkuman dalam ekosistem STEM yang melibatkan semua pihak.

Mohd. Khairul Hakimi pula mengulas berkaitan dengan hala tuju STEM dari sudut automotif. Beliau menyatakan bahawa usaha penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh MARii memberikan faedah dan kemajuan teknologi dalam pembuatan kenderaan yang efisien dan ada kenderaan yang berkonsepkan masa depan.

Menurut Mohd. Khairul Hakimi, dalam situasi pandemik ini, graduan yang masih belum mendapat pekerjaan boleh menambah kemahiran sebagai nilai tambah diri dengan mengikuti kursus secara dalam talian yang dianjurkan oleh agensi yang berkaitan seperti Marii.

Disebabkan perubahan semasa teknologi yang semakin berkembang pesat, maka cara pekerjaan konvensional kita berubah. STEM merupakan platform yang jitu untuk melahirkan graduan atau mengeluarkan produk bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang berubah.

Program Ambang Merdeka: “64 Tahun Kemerdekaan: Ke Manakah Hala Tuju STEM?” boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.