Oleh Ritah Yahaya
21 Ogos 2021, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Para penyelidik memberikan amaran dalam jurnal dalam talian, Animal Biology (22 Mac, 2021) tentang hidupan liar dan ekosistem di seluruh dunia yang menderita akibat pelitup muka pakai buang. Selain itu, sarung tangan lateks dan topeng polypropylene  yang digunakan oleh orang ramai untuk melindungi diri daripada koronavirus turut memperburuk masalah pencemaran plastik apabila tidak dibuang dengan betul yang menyebabkan kematian haiwan liar.

Pada bulan Ogos 2020, para sukarelawan yang membersihkan terusan di Leiden, Belanda mendapati ikan kerakap, iaitu spesies ikan air tawar terperangkap di dalam “jari” sarung tangan getah. Ikan tersebut menjadi “mangsa” (hidupan liar) yang pertama kali direkodkan disebabkan oleh sampah COVID-19 di Belanda. Penemuan itu mengejutkan dua orang ahli biologi yang berpusat di Leiden, iaitu Auke-Florian Hiemstra dan Liselotte Rambonnet- yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sejauh mana kesan sampah COVID-19 terhadap hidupan liar. Mereka melakukan pencarian yang luas, secara dalam talian dan di akhbar untuk mengumpulkan contoh.

Mereka menemui 28 kejadian seperti itu dari seluruh dunia yang menjadi masalah global yang serius. “Mangsa” yang paling awal dilaporkan adalah pada bulan April 2020, iaitu seekor murai Amerika (American robin) di Kanada. Burung tersebut mati setelah terjerat dengan pelitup muka. Haiwan peliharaan juga tidak terkecuali dan berisiko menjadi mangsa sampah pandemik COVID-19.

Seekor kucing peliharaan di Philadelphia didapati memakan sarung tangan., Seekor anjing peliharaan di Boston pula memakan pelitup muka. Plastik di dalam perut haiwan boleh menyebabkan haiwan mati kelaparan. Laporan yang diterbitkan oleh organisasi pemuliharaan laut, OceansAsia yang berpusat di Hong Kong menganggarkan sebanyak 1.56 bilion pelitup muka akan masuk ke dalam lautan dunia pada tahun 2020. Jumlah tersebut adalah antara 8 juta hingga 12 juta tan metrik plastik yang masuk ke dalam lautan setiap tahun. Dari aspek positif sampah pandemik COVID-19, penyelidik mendapati burung menggunakan pelitup muka dan sarung tangan sebagai bahan untuk membina sarang.

Ikan kerakap yang terperangkap di dalam sarung tangan getah di dalam terusan di Leiden, Belanda.

(Gambar: Auke-Florian Hiemstra)

Burung murai yang terjerat dengan pelitup muka di Chilliwack, Kanada.

(Gambar: Sandra Denisuk, A.-F. Hiemstra et al.)

Rencana ini disesuaikan daripada tulisan Anne Pinto-Rodrigues dalam ScienceNews 2021.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.