21 Ogos 2021, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merupakan debat IPT yang tertua di Malaysia. Hal ini demikian kerana DAS mula diadakan pada tahun 1986 hingga kini. Pandemik COVID-19 menyebabkan DAS 2021 diadakan secara maya. Penganjuran DAS ke-27 ini istimewa kerana pertama kali berlangsung melalui aplikasi Zoom.

Pada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaku penganjur utama pertandingan bersama-sama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mendapat sokongan jitu daripada Majlis Debat Universiti Malaya (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan rakan strategik baharu, iaitu Institut Debat dan Pidato Malaysia (MIDP).

DAS menjadi legasi debat antara IPT yang konsisten, malah mengekalkan prestijnya sebagai arena perdebatan yang menjadi idaman semua pendebat universiti. Pada tahun ini, sebanyak 28 buah pasukan dan 138 orang pendebat dari beberapa buah IPT di seluruh negara menyertai DAS. Pertandingan debat berprestij ini diadili oleh barisan hakim berpengalaman luas dalam bidang masing-masing yang diketuai oleh Nazrul Haji Ismail sebagai Ketua Hakim Tertinggi MADUM.

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi yang berlangsung secara dalam talian.

DAS berlangsung dari 14 Ogos 2021 hingga 17 Ogos 2021, dan kemuncaknya adalah pada 21 Ogos 2021. Pertandingan akhir DAS menemukan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku kerajaan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pembangkang. DAS Peringkat Akhir menyaksikan UIAM berjaya merangkul juara keseluruhan.

Kedudukan 10 pendebat terbaik keseluruhan.

Tajuk usul atau isu debat dan sesi debat terbuka pada kali ini agak mencabar. Secara tidak langsung, hal ini membantu para pendebat menjanakan pemikiran kritis dan kritikal. Sebagai contohnya, antara tajuk usul atau isu debat termasuklah “Matlamat Pembangunan Lestari 2030”, “Plastik Sekali-Guna”, dan “Pemulihan Ekosistem”. Perkara ini turut diakui oleh Norlin Jaafar, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia dalam ucapan perasmian tentang hasrat DAS untuk melahirkan generasi anak muda yang mampu membicarakan idea kreatif, bernas dan cakna isu alam sekitar dalam negara dan global.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, menjelaskan bahawa DAS bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah yang tepat bagi pengucapan pemikiran tinggi dan berkongsi pemikiran dinamik dalam kalangan mahasiswa. Walaupun penganjuran DAS 2021 berdepan dengan pelbagai cabaran kebiasaan baharu, tetapi DAS tetap signifikan dan relevan untuk membahaskan isu alam sekitar.

Kedudukan pusingan ke-5 Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi.

“ALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi