19 Ogos 2021, 20:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Persidangan Digital Sektor Awam 2021 (PDiSA 2021) anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan AwanBiru Technology Berhad berlangsung secara dalam talian melalui Facebook MAMPU.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.

Persidangan ini bertujuan menyediakan peluang kerjasama strategik antara agensi kerajaan dengan akademia dan sektor swasta, menyediakan platform perkongsian idea berkaitan dengan keadaan semasa dan arah aliran terkini teknologi serta mengarusperdanakan konsep “kerajaan digital”.

Penganjuran PDiSA 2021 yang bertemakan “Norma Baharu Pendigitalan: Memperkasakan Perkhidmatan Berpaksikan Rakyat” ini sejajar dengan senario semasa dan perkembangan pesat yang perlu diterokai agar perkhidmatan yang disediakan mampu memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

PDiSA 2021 dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyatakan prinsip FASTER, iaitu Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient, dan Resilient harus dijadikan pegangan penjawat awam. Secara khususnya, prinsip FASTER membolehkan penjawat awam sentiasa eduktif dan sensitif kepada kehendak semasa. Para penjawat awam harus bertindak memastikan segala perancangan dan dasar yang dibuat terus dilaksanakan dengan efisien dan pantas.

Menurut Mohd Zuki, “Kerajaan juga memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital sebagai langkah ke hadapan untuk melahirkan generasi fasih digital dan menjadikan sistem pendidikan di negara ini antara yang terbaik di dunia.”

Tambah beliau, “Kerajaan meluluskan sebanyak 128 projek ICT dan pendigitalan yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion dengan peruntukan sebanyak RM538.7 juta untuk tahun ini. Projek ini meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital, serta menaik taraf kelengkapan ICT di institusi latihan. Pelan infrastruktur digital yang menyeluruh yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga diwujudkan bagi meningkatkan capaian Internet.”

Pencapaian perkhidmatan dalam talian sepenuhnya atau E2E bagi sektor awam ketika ini sudah mencapai tahap 57.02% setakat 31 Julai yang lalu. Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 80% perkhidmatan kerajaan dalam talian dari peringkat awal hingga peringkat akhir menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja MyDigital.

“Kerajaan juga bersetuju menetapkan penambahan sebanyak 5% daripada perkhidmatan E2E semasa sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) 2021 Tier-1 bagi penjawat utama perkhidmatan awam. Penetapan ini bertujuan memberikan nilai tambah dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus dalaman agensi,” tambah beliau lagi.

Majlis perasmian Persidangan Digital Sektor Awam 2021 secara maya oleh Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Ketua Pengarah MAMPU dalam ucapan beliau menyatakan, “Sebagai sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab dalam agenda pendigitalan sektor awam, MAMPU sentiasa beriltizam untuk mentransformasikan perkhidmatan awam di negara ini. MAMPU yakin satu-satu perkhidmatan itu akan menjadi lebih mudah, cepat dan selamat jika kita dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan komunikasi yang sedang bergerak pantas pada masa ini.”

Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, mantan Penasihat Khas (Kesihatan Awam) kepada Perdana Menteri dalam ucaptama beliau yang bertajuk “Pandemik COVID-19: Revolusi Dunia Global”, menyentuh lima perkara penting bagi semua pembuat dasar, iaitu akses, penggunaan, inovasi, kepercayaan, dan masyarakat.

Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) ialah kesinambungan pelan strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sektor Awam 2016–2020 dengan pencapaian sebanyak 98.07%. PSPSA merupakan pelan kelangsungan kerajaan digital mampan melalui pendigitalan yang sistematik, konsisten dan bersepadu untuk kesejahteraan rakyat seiring dengan hala tuju nasional dan global.

PSPSA 2021–2025 menggariskan hala tuju strategik sektor awam untuk tempoh lima tahun sebagai panduan dan rujukan agensi sektor awam dalam merangka strategi pendigitalan di agensi masing-masing. Hala tuju strategi pendigitalan yang digarap dalam PSPSA 2021–2025 merangkumi perkhidmatan berteraskan empat kumpulan sasar, iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan, dan penjawat awam.

Perincian lanjut perbincangan ahli panel dan pembentangan Persidangan Digital Sektor Awam 2021 adalah seperti yang berikut:

Perbincangan ahli panel:

“Meneroka Masa Depan Digital: Perubahan Landskap Digital dalam Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan”.

Moderator:

Kamarul Bahrin Haron

Ahli Panel 1:

Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengerusi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ahli Panel 2:

Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad.

Pembentangan kertas kerja:

“Multi-Cloud: Masa Depan dalam Mengimbangi Kitaran Bakat bagi Mencapai Digitalisasi Negara”.

Dr. Abu Hasan Ismail, Ketua Pengarah Urusan Kumpulan AwanBiru Technology Berhad.

“Disruptive Innovation: Shaping Innovative in Organizational”.

Sabri Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif, DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd.

“Goverment Go Cashless”.

Datuk Dr. Yacob Mustafa, Akauntan Negara Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

“Malaysia Bandar Pintar: Manfaat kepada Rakyat dalam Persekitaran Digital”.

TPr. Gs. Dr. Shamsaini Shamsuddin, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa).

“GoChat: Tips and Tricks in Digital Workplace”.

Hussin Abu Bakar, Ketua Perunding ICT, MAMPU.

PDiSA 2021 diakhiri dengan ucapan penutup oleh Azih Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (ICT), MAMPU merangkap Ketua Pegawai Maklumat Kerajaan (GCIO). Beliau berharap maklumat dan ilmu yang diperoleh pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada penjawat awam untuk mempraktikkannya, dan terus mara memperkasakan perkhidmatan digital sektor awam.

Tonton video penuh Persidangan Digital Sektor Awam 2021 di sini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.