10 Ogos 2021, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Derma organ bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Hal ini demikian kerana pendermaan organ sudah lama dalam bidang perubatan di negara ini. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin hari semakin bertambah, namun jumlah individu yang berikrar untuk menderma organnya setelah kematian masih rendah.

Sejak tahun 1999, kad Pengikrar Penderma Organ dilancarkan sebagai kad pendaftaran individu yang berikrar untuk menderma organ. Berdasarkan statistik pendermaan organ yang dikeluarkan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), jumlah pengikrar penderma organ adalah sebanyak 489 416 orang setakat bulan Jun 2021.

PSTN diwujudkan bukan sahaja untuk menambahkan bilangan pengikrar penderma organ, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan memberikan maklumat tentang kepentingan pendermaan organ.

Definisi pendermaan organ atau tisu

Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh kita bagi tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi organ, individu penerima organ itu dapat meneruskan kehidupannya.

Pusat Sumber Transplan Nasional

Merupakan sebuah jabatan di Hospital Kuala Lumpur yang bertanggungjawab melaksanakan program pendermaan organ pada peringkat kebangsaan. Sebagai sebuah pusat rujukan kebangsaan, PSTN menjalankan aktiviti koordinasi proses pendermaan organ bagi tujuan transplantasi serta aktiviti promosi pendermaan organ selepas kematian.

Objektif PSTN

  1. Bertindak sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi kes-kes pendermaan organ di seluruh negara;
  2. Menjadi pusat maklumat berterusan kepada masyarakat mengenai pendermaan organ dan transplantasi di Malaysia;
  3. Menyelaraskan proses yang terlibat dalam urusan perolehan organ hingga organ tersebut dihantar ke pusat transplantasi;
  4. Menguruskan pendaftaran pengikrar penderma organ di seluruh negara;
  5. Melaksanakan program kesedaran pendermaan organ dan transplantasi;
  6. Mendaftarkan dan menyimpan rekod pengikrar penderma organ, dan menjalinkan hubungan dengan pelbagai agensi bagi menyebarkan maklumat berkaitan dengan pendermaan organ.

Cara pendermaan organ

  • Pendermaan selepas kematian.
  • Pendermaan semasa hidup.

Bagi pendermaan selepas kematian, individu itu boleh mendermakan lebih banyak organ jika dibandingkan dengan pendermaan semasa hidup.

Organ dan tisu yang boleh didermakan di Malaysia

Organ Tisu
Jantung Mata (kornea)
Paru-paru Injap jantung
Hati Tulang
Buah pinggang Kulit
(Sumber): Pusat Sumber Transplan Nasional

Siapa yang layak menjadi penderma?

Sesiapa sahaja boleh mendaftar menjadi pengikrar penderma organ dan tisu kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, AIDS, Hepatitis B dan C, atau siflis.

Bagi mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, kebenaran bertulis daripada ibu bapa diperlukan. Semua pengikrar penderma organ dinasihatkan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga tentang hasrat mereka untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia. Hal ini bagi memudahkan keluarga mereka memberikan kebenaran untuk pengambilan organ dan tisu selepas kematian mereka.

Cara untuk menjadi pengikrar penderma organ

Seseorang yang ingin mendermakan organ selepas kematian boleh mengisi borang pendaftaran pengikar penderma organ yang boleh didapati di semua hospital kerajaan, jabatan kesihatan daerah, pusat kesihatan daerah atau memuat turun borang dari laman web PSTN.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.