27 Julai 2021, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021 (HTN 2021) yang bertemakan “Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah” dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada hari ini secara maya. Beliau turut merasmikan Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam–Swasta ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia setelah sistem tersebut digunakan dengan jayanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.

Menurut Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, HTN disambut pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh Malaysia dalam memastikan perundangan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus pembangunan negara. Tambah beliau, sambutan HTN melalui siri webinar dan program bual bicara yang diadakan secara maya memberikan peluang kepada warga pentadbiran tanah seluruh negara, pemain industri dan orang awam untuk mencetuskan pemikiran dan idea baharu ke arah memperkemas pentadbiran tanah di Malaysia.

Pelaksanaan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam-Swasta di Kuala Lumpur dan Perak berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah. Transformasi pentadbiran tanah menerusi Sistem e-Tanah berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Ease of Doing Business Year 2020 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dari kedudukan ke-15 pada tahun 2019 ke kedudukan ke-12 pada tahun 2020. Sistem e-Tanah ini juga mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa pada tahun 2018, iaitu pencapaian Gold Award Public Sector.

Menurut beliau lagi, dengan kejayaan pelaksanaan Sistem e-Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya dan Labuan Secara Kerjasama Awam–Swasta dimeterai secara maya. Dengan termeterainya perjanjian konsesi ini, pembangunan Sistem e-Tanah akan dimulakan di kedua-dua pejabat tanah tersebut.

Kerajaan akan terus melaksanakan peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam-Swasta ke negeri Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis, dan Kelantan. Sistem e-Tanah di semua negeri tersebut dijangka akan selesai dibangunkan dan boleh diguna pakai selewat-lewatnya pada tahun 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.