24 Julai 2021, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karnival Sains Sabah (KSS) ialah program yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini bertujuan membangkitkan minat pelajar dan masyarakat di Negeri di Bawah Bayu terhadap sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM). KSS 2021 berlangsung secara maya di saluran Youtube Sabah Gov Official dan Facebook Karnival Sains selama tiga bulan bermula dari 5 Julai 2021.

Karnival secara maya ini disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan beberapa penganjur yang lain.

Dalam dunia maju yang serba canggih pada hari ini, masyarakat perlu memiliki dan menguasai kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia, hanya 20% pelajar yang mengambil jurusan sains pada masa ini, sedangkan untuk mencapai status negara maju, Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran dengan nisbah 60:40 pelajar sains berbanding dengan sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Oleh itu, kerajaan Sabah berhasrat meningkatkan sasaran kekuatan tenaga kerja dengan asas sains dan teknologi menerusi pelbagai aktiviti program, termasuklah melalui penganjuran KSS ini.

Pada 5 Julai 2021 jam 10 pagi, majlis perasmian KSS telah dilancarkan secara maya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Yakub Khan. Menurut beliau, KSTI bertanggungjawab membudayakan sains kepada masyarakat, mengubah persepsi masyarakat terhadap sains dan menjadikan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Beliau mengatakan bahawa dalam tempoh 20 tahun akan datang, kebanyakan bidang kerja yang ditawarkan adalah berdasarkan sains, teknologi dan inovasi. Oleh itu, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan mengutamakan pendidikan STEM sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

Program KSS yang diadakan ini mengambil contoh program tahunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), iaitu Minggu Sains Negara manakala pengisian program memfokuskan ilmu STEM, inovasi dan teknologi. Objektif KSS, antaranya termasuklah (1) memupuk pembudayaan ilmu sains, teknologi dan inovasi kepada semua lapisan masyarakat; (2) menyebarluaskan dan menggalakkan penyertaan yang lebih banyak dalam dunia pendidikan berasaskan STEM; (3) memberikan pengalaman dan pemahaman kepada masyarakat tentang ilmu STEM dalam kehidupan sebenar dan (4) menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam bidang STEM bagi meningkatkan kefahaman dan kerjasama dalam menyokong pendidikan generasi Revolusi Industri 4.0.

Melalui program ini, sebanyak 12 pertandingan akan diadakan secara dalam talian melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, dan pendidikan khas. Antara pertandingan tersebut termasuklah Pertandingan Seni Visual bagi Pelajar Prasekolah; Pertandingan Inovasi STEM bagi Pelajar Sekolah Rendah; Pertandingan Solar Oven bagi Pelajar Sekolah Menengah, dan Pertandingan Fotografi Alam Semula Jadi bagi Pelajar Pendidikan Sekolah Khas. Pertandingan secara dalam talian ini berakhir pada 24 Julai 2021.

Empat pertandingan akan diadakan untuk para pelajar di pedalaman yang tiada capaian Internet, iaitu STEM dan Kitar Semula (kertas) bagi Pelajar Sekolah Rendah Tahap 1; STEM dan Kitar Semula (plastik) bagi Pelajar Sekolah Rendah Tahap 2; Inovasi STEM dan Alam Sekitar (Tambah Baik) bagi Pelajar Sekolah Menengah Rendah, dan Inovasi STEM dan Alam Sekitar (Ciptaan Baharu) bagi Pelajar Sekolah Menengah Atas. Tarikh tutup penyertaan pertandingan untuk para pelajar di pedalaman adalah pada 15 Ogos 2021.

Selain pertandingan, 30 sesi webinar akan diadakan secara dalam talian sepanjang KSS berlangsung selama tiga bulan ini yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah MOSTI dan dua buah IPT Awam di Sabah, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah bagi membincangkan isu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Antara sesi webinar yang berlangsung sepanjang bulan Julai termasuklah Webinar Bengkel Teknik Menjawab Soalan KBAT SPM bagi Subjek Matematik Tambahan, Sains, Kimia dan Biologi; Webinar Kesedaran Ibu Bapa Mengenai Kepentingan STEM, dan Webinar Peranan Teknologi dalam Merevolusikan Industri di Sabah.

Pada bulan Ogos nanti, beberapa sesi webinar akan berlangsung, antaranya termasuklah seperti Pertunjukan Sains Secara Langsung di Petrosains Playmart Kota Kinabalu pada 2 Ogos 2021; Inovasi Sosial dan Impak kepada Masyarakat pada 13 Ogos 2021; Kepentingan STEM dan Potensi Kerjaya pada 18 Ogos 2021, dan Rakaman Lawatan Maya ke Pusat Sains Negara dan Dinasour World pada 25 Ogos 2021.

Dalam usaha memupuk minat terhadap STEM, masyarakat tanpa mengira lapisan umur boleh mengambil peluang mengikuti setiap sesi webinar yang dijalankan secara maya melalui laman Facebook rasmi program tersebut. Diharapkan penganjuran karnival seperti ini dapat diperluas untuk memupuk minat para pelajar dan masyarakat terhadap STEM. Hal ini demikian kerana kebanyakan peluang pekerjaan pada masa depan memerlukan setiap pelajar mempunyai kemahiran berteraskan matematik dan sains. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan membantu generasi muda agar membuang tanggapan bahawa sains itu sukar. Minat terhadap STEM seharusnya dipupuk sejak kecil.

(Sumber): Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.