22 Julai 2021, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Pena Editor – Bicara Karyawan, “Saga Artakusiad Satu Bicara Fantasi” yang disiarkan secara langsung dari Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini, mendapat sambutan dan respons positif daripada khalayak.

Program tersebut dijayakan oleh Ahmad Patria Abdullah, novelis terkenal genre fiksyen sains dan fantasi yang terkenal di negara ini. Beliau berkongsi dengan khalayak tentang perjalanan hidup, pengalaman dan perancangan beliau dalam bidang penulisan karya fantasi, siri Saga Artakusiad yang merangkumi Seru Katanaga, Cabaran Lodra, Legenda Numerius, dan sebagainya.

Program yang berlangsung hampir satu jam itu membongkar rahsia faktor utama karya Saga Artakusiad ini muncul. Menurut Ahmad Patria, manuskrip Saga Artakusiad sebenarnya telah dibuang ke dalam tong sampah kerana beliau merasakan bahawa karya itu tidak begitu baik untuk disiarkan. Walau bagaimanapun, karya tersebut telah diambil oleh bapanya dan mengusulkan agar dihantar kepada penerbit. Akhirnya, DBP menerbitkan karya ini sejak tahun 1987 hingga berkembang kepada beberapa siri yang hebat.

Menurut Ahmad Patria lagi, sebagai penulis yang sangat meminati fantasi, beliau memerlukan kebebasan untuk mendapatkan resonance atau gema yang boleh menggetarkan jiwa pembaca seperti mampu membuatkan pembaca menangis apabila membaca karya tersebut. Beliau juga akan memastikan setiap karya yang dihasilkan tidak melanggar batas agama.

Karya fantasi yang ditulis oleh penulis-penulis moden ialah sebuah karya yang kompleks yang merangkumi banyak sudut ekonomi, ketenteraan, pentadbiran negara, peribadi, dan percintaan. Hal ini bermakna fantasi mempunyai stigma tersendiri.

Tambah Ahmad Patria lagi, penulisan beliau berdasarkan hasil pembacaan yang banyak dan penontonan filem. Beliau menerapkan hasil pembacaan dan mengolah teknik yang digunakan dalam filem, antaranya termasuklah filem Jepun, Korea, Perancis, British, dan sebagainya dalam penulisan beliau. Oleh itu, beliau sangat mementingkan tempo sesuatu penceritaan. Pada masa ini, pembaca suka akan sesuatu karya yang mempunyai tempo penceritaan yang cepat di samping untuk mengelakkan pembaca berasa bosan.

Siri Saga Artakusiad memberikan pengakhiran yang penuh dengan teka-teki kepada pembaca. Ahmad Patria menyatakan bahawa Saga Artakusiad kini diberi nafas baharu. Walaupun menggunakan watak yang sama, tetapi naratifnya berbeza. Mutu penulisan Saga Artakusiad yang baharu ini juga dikatakan lebih baik berbanding dengan Saga Artakusiad yang lama.

Saya tidak ada perancangan untuk menfilemkan karya Saga Artakusiad ini kerana menghasilkan filem bukan kepakaran saya. Saya lebih menumpukan penulisan. Bagi saya penulisan ialah satu proses pengkaryaan yang peribadi, manakala perfileman bersifat kolaboratif, melibatkan pelbagai pihak serta banyak elemen dalamnya. Secara tidak langsung akan melibatkan perbelanjaan yang sangat besar.

Mengakhiri bicara, Ahmad Patria menasihatkan orang ramai agar sentiasa bersabar dan mengamalkan interaksi yang baik melalui media sosial dalam situasi pandemik COVID-19 ini. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar mematuhi Prosedur Operasi Standard untuk mempercepat pengakhiran pandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.