Oleh Ritah Yahaya
22 Julai 2021, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – STEM dan isu global perlu didedahkan kepada kanak-kanak sejak awal. Hal ini ditegaskan oleh Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan dalam Program Bicara “STEM: Peranan dan Kepentingan STEM” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP petang tadi.

Menjelaskan lanjut mengenai STEM yang merupakan gabungan ilmu sains (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik), beliau menyatakan bahawa STEM perlu didedahkan dari peringkat kanak-kanak hingga warga emas melalui pendidikan formal dan tidak formal. Kanak-kanak perlu didedahkan dengan isu global seperti penyakit manusia, perubahan cuaca, ekonomi, dan sebagainya sejak awal agar mereka peka dan berminat dengan STEM yang menjadi teras kehidupan manusia.

Menurut Noraini, kerajaan, guru, ibu bapa, dan semua pihak perlu bekerjasama mengangkat STEM melalui sokongan, galakan, pendedahan, dan penekanan terhadap pembelajaran konsep sains kepada kanak-kanak bermula di dalam kelas dan diterapkan di luar kelas dalam kehidupan sehari-hari. Beliau menambah Malaysia berdepan dengan isu dan cabaran STEM yang memperlihatkan penurunan minat terhadap subjek STEM dan pencapaian akademik bagi subjek ini pada peringkat sekolah, yang turut mempengaruhi pemilihan kursus pada peringkat universiti.

Pada era Revolusi Industri 4.0 ini, beliau menyeru masyarakat Malaysia agar menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, menguasai isu yang menuntut kemahiran berfikir secara kreatif dan berfikiran strategik yang boleh dipupuk sejak kanak-kanak. Bagi membantu memupuk minat STEM dalam kalangan masyarakat Malaysia, beliau menyatakan bahawa Persatuan STEM Kebangsaan akan bekerjasama dengan DBP untuk menerbitkan banyak bahan bacaan berkaitan dengan STEM dalam bahasa Melayu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.