Oleh Diviya Devaraj
18 Julai 2021, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rempah-ratus ialah bahan sayuran kering atau aromatik yang digunakan sebagai perisa makanan dan perubatan. Dalam bidang perubatan, rempah-ratus digunakan untuk merawat disentri, masalah gastro-usus, demam, sakit selepas bersalin, cacing pita, radang tekak, dan tonsilitis. Kayu manis, lada hitam, bunga cengkih, jintan putih, dan ketumbar sering digunakan dalam perubatan tradisional. Jintan manis juga tidak kurang hebatnya.

Jintan manis dikenali sebagai Saunf atau Foeniculum vulgare dalam keluarga Apiacae. Jintan manis berasal dari Eropah selatan dan wilayah Mediterranean. Negara India ialah pengeluar jintan manis terbesar di dunia. Jintan manis di India ditanam, terutamanya di Gujarat, Rajasthan dan Uttar Pradesh. Selain India, Rusia, Jerman, Perancis, Itali, Jepun, Argentina, dan Amerika Syarikat juga mengeluarkan jintan manis.

Terdapat tiga spesies jintan manis, iaitu Foeniculum vulgare, Foeniculum azoricum Mill dan Foeniculum dulce. Jintan manis ialah tanaman jangka panjang dan boleh berkembang di mana-mana sahaja. Jintan manis boleh tumbuh di kawasan beriklim sederhana atau subtropika, terutamanya di kawasan tanah kering dan pinggir kawasan pantai berpasir.

Pokok jintas manis tumbuh menegak. Batangnya berwarna hijau, berongga dan mampu hidup lebih dari dua tahun. Pokok jintan manis boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter. Pokok jintan manis boleh mencapai ketinggian antara 30 sentimeter (sm) hingga 50 sm dengan panjang antara 20 sm hingga 30 sm.

Daun tumbuhan ini berwarna hijau dengan saiz antara 5 sm hingga 10 sm panjang dan ringan seperti bulu ayam. Di sisi daunnya terdapat paksi seperti benang. Bunga jintan manis pula berwarna putih kekuningan. Saiz buah jintan manis serupa dengan buah jintan putih, iaitu antara 4.0 milimeter (mm) hingga 5.0 mm panjang.

Fakta Nutrisi Jintan Manis

Jintan manis kaya dengan karbohidrat, protein dan lemak. Kandungan mineralnya terdiri daripada kalsium, fosforus, zat besi, natrium, dan kalium. Kandungan vitamin dalam jintan manis terdiri daripada tiamin, riboflavin, niasin, vitamin C, dan vitamun K. Jintan manis tinggi dengan isoleusin dan histidin. Rasa jintan manis sama seperti rasa bunga lawang (star anise), iaitu manis dan sedikit pahit. Walau bagaimanapun, rasa jintan manis dari India dan Mesir lebih manis, aromatik dan mempunyai sedikit rasa bunga lawang.

Jintan manis bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga menjadi satu komponen yang penting dalam formulasi Ayurveda. Daun dan akar jintan manis berfungsi untuk merawat bisa gigitan ular, dan untuk meneutralkan racun dalam sayuran seperti cendawan. Jintan manis juga penting untuk pengaktifan enzim, metabolisme, perlindungan sel, perkembangan tulang, pengawalan gula darah, dan penyembuhan luka. Penyelidikan membuktikan bahawa jintan manis ialah tumbuhan perubatan yang memiliki pelbagai potensi dalam rawatan manusia.

Ringkasnya, jintan manis merupakan rempah-ratus serbaguna kerana mempunyai kegunaan kuliner dan perubatan. Walaupun saiznya kecil, jintan manis berfungsi sebagai senjata ajaib untuk kesihatan manusia. Jintan manis digunakan dalam pelbagai formulasi Ayurveda kerana kebaikannya.

Hasil penyelidikan mendapati jintan manis yang dikisar berupaya melawan bakteria yang menyebabkan ketakcernaan, cirit-birit, dan disentri. Jintan manis juga didapati berkesan dalam melawan radikal bebas yang menyebabkan pelbagai penyakit. Ekstrak jintan manis juga boleh digunakan untuk membantu individu menangkis kesan pelbagai penyakit kronik dan keadaan kesihatan berbahaya, termasuklah kanser, pengerasan arteri atau aterosklerosis dan keradangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.