Oleh Ritah Yahaya
10 Julai 2021, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberi tumpuan untuk menerbitkan buku yang berkaitan dengan bidang perubatan pada tahun ini sesuai dengan situasi semasa yang dihadapi sekarang.

Usaha tersebut yang diberi tanggungjawab kepada Bahagian Buku Umum akan bekerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Nuklear Malaysia, sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pada masa yang sama, DBP akan meneruskan usaha untuk menerbitkan buku dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan, agama, falsafah dan tamadun Islam yang meliputi 49 subbidang.

Berkongsi lebih lanjut mengenai usaha tersebut, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menjelaskan pada tahun lepas, pihaknya menetapkan sasaran penerbitan sebanyak 355 judul.

Abang Sallehuddin Abg. Shokeran

Walau bagaimanapun, kata beliau pada tahun tersebut DBP hanya berjaya menerbitkan sebanyak 172 judul kerana kekangan kerja pracetak dan cetak yang tergendala akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Tanpa kekangan tersebut, DBP berupaya mencapai sasaran penerbitan yang ditetapkan kerana sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, sebanyak 207 judul am baharu masih berada pada peringkat pracetak dan 24 judul pada peringkat cetak.

Katanya lagi, pada setiap tahun, DBP mempertingkatkan jumlah penerbitan antara lima hingga 10% dengan bilangan staf editorial yang ada.

Pihaknya juga berkata akan terus berusaha meningkatkan bilangan penerbitan sesuai dengan peranan DBP dalam membina dan memperkaya bahasa kebangsaan menerusi aktiviti penerbitan.

Ketika ditanya mengenai cara DBP membantu memartabatkan bahasa kebangsaan, Abang Sallehuddin berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai kempen bahasa semenjak penubuhan agensi tersebut.

Walaupun mempunyai perubahan nama kempen seperti Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan dan kini Dekad Bahasa Kebangsaan, kesemuanya tetap bertujuan untuk mempersegar kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh DBP termasuklah program penggalakan, pembinaan dan penyebaran melalui pelbagai media. Masyarakat sentiasa menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap pelaksanaan kegiatan DBP.

DBP sentiasa berusaha mendekati masyarakat dengan pelbagai pendekatan termasuklah dengan menggunakan media sosial dalam penyebaran.

DBP berharap sokongan dan kerjasama daripada masyarakat dalam membantu DBP mengembangkan bahasa dapat ditingkatkan lagi dan mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan swasta mahupun generasi muda dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sumber: Utusan Online

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.