30 Jun 2021, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Pena Editor – Bicara Karyawan Dewan Kosmik, “Bersama-sama Pulihkan Ekosistem Kita”, yang disiarkan secara langsung dari Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini, menerima sambutan baik daripada khalayak.

Program Pena Editor – Bicara Karyawan Dewan Kosmik, “Bersama-sama Pulihkan Ekosistem Kita” sedang berlangsung.

Program yang diadakan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun itu dijayakan oleh Pengarah Komunikasi dan Strategik, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Zuraini Ahmad Tajudin. Bertepatan dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, iaitu “Pemulihan Ekosistem”, beliau mengupas isu berkaitan dengan pengurusan dan pelestarian alam sekitar yang menjadi tanggungjawab bersama semua pihak, bukan hanya terletak di bahu JAS.

Menurut Zuraini, tanggungjawab terhadap segala pencemaran atau kerosakan alam sekitar tidak tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 semata-mata, tetapi menjurus kepada kawalan pelepasan industri dan pembangunan. Pada masa yang sama, agensi awam dan swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, dan masyarakat juga perlu berperanan dan bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Antara usaha yang dilakukan oleh JAS untuk menambah baik pengurusan alam sekitar ialah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan menimbang tara keperluan pembangunan atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan alam sekitar. Satu daripada perkara yang akan dipinda ialah denda yang dikenakan kepada pesalah yang melanggar elemen dalam akta ini.

Tambah Zuraini lagi, terdapat pasukan khas yang memantau dan membuat pemeriksaan di kilang-kilang di setiap daerah dan negeri setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan oleh JAS, terutamanya di kilang-kilang yang pernah membuat kesalahan, kilang yang besar dan kilang yang dijangkakan menghasilkan bahan buangan terjadual yang banyak. Dalam hal ini, JAS juga memberikan tumpuan kepada semua aduan yang diterima.

Usaha yang dilakukan oleh JAS juga seiring dengan usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan alam sekitar di negara maju. Hal ini demikian kerana apa-apa sahaja usaha yang dilakukan oleh JAS adalah berpandukan program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun, JAS terus berusaha mengadakan pelbagai program pada pelbagai peringkat, bermula dari peringkat sekolah agar setanding dengan usaha yang dilakukan oleh negara maju.

Program Rakan Alam Sekitar yang mempunyai lebih 150 000 orang rakan mendaftar digerakkan oleh JAS untuk terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti alam sekitar, antaranya termasuklah mendaki sambil mengutip sampah, pembersihan pantai dan penanaman pokok. Webinar dan wacana tentang alam sekitar turut diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.

JAS juga akan menganjurkan Debat Alam Sekitar (dari 3 Ogos 2021 hingga 8 Ogos 2021) yang bertujuan menggalakkan penyertaan institut pengajian tinggi  (IPT) awam dan IPT swasta untuk mengupas pemikiran mahasiswa tentang alam sekitar. Selain itu, JAS akan menganjurkan forum “3 Minit Tesis” yang memerlukan mahasiswa mengemukakan kajian tentang alam sekitar yang dilakukan oleh IPT masing-masing dalam tempoh tiga minit untuk diaplikasikan kepada orang ramai.

Zuraini berpendapat bahawa rakyat Malaysia perlu berperanan dan bertanggungjawab memulihkan dan memulihara alam sekitar. Hal ini agar kehidupan yang berkualiti dapat dikecapi dengan wujudnya ekosistem yang baik dan seimbang, bermula dengan tindakan yang kecil, tetapi penting. Sebagai contohnya, mengasingkan sisa sampah sama ada plastik, kertas ataupun sisa makanan supaya dapat diuruskan dengan baik dan dikitar semula.

Beliau menambah bahawa masyarakat Malaysia juga perlu berjimat cermat menggunakan elektrik dan air kerana tindakan ini mampu memulihkan ekosistem negara. Beliau berharap Malaysia berupaya mengecap pembangunan lestari yang seimbang antara ekonomi dengan alam sekitar.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.