Oleh Ritah Yahaya
30 Jun 2021, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Para saintis telah mencipta robot penyembuhan diri yang pertama di dunia menggunakan sel induk (sel stem) katak cakar Afrika. Dinamakan Xenobot daripada nama saintifik katak cakar Afrika (Xenopus laevis).

Lebar Xenobot kurang daripada satu milimeter (0.04 inci) – cukup kecil untuk bergerak dalam tubuh manusia. Xenobot dengan anggota belakang yang besar dan bahagian bawah kaki yang lebih kecil, berlapis dengan otot jantung merah.

Xenobot boleh berjalan dan berenang, bertahan selama berminggu-minggu tanpa makanan dan bekerjasama dalam kumpulan. Xenobot dapat bertahan dalam persekitaran berair tanpa nutrien tambahan selama berhari-hari atau berminggu-minggu, menjadikannya sesuai untuk menghantar ubat ke dalam tubuh manusia.

(Sumber: CNN)

Sel stem ialah sel yang tidak khusus yang mempunyai kemampuan untuk berkembang menjadi pelbagai jenis sel. Para penyelidik mengikis sel stem hidup daripada embrio katak, dan membiarkannya diinkubasi. Kemudian, sel-sel itu dipotong dan dibentuk kembali menjadi “bentuk tubuh” khusus yang dirancang oleh komputer super.

Xenobot mempunyai kemampuan penyembuhan diri. Ketika para saintis memotong satu robot, robot itu akan sembuh dengan sendirinya dan terus bergerak.

Xenobot tidak kelihatan seperti robot tradisional. Robot ini tidak mempunyai peralatan berkilau atau lengan robot. Sebaliknya, Xenobot kelihatan seperti gumpalan kecil daging merah jambu yang bergerak. “Mesin biologi” ini dapat melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh robot keluli dan plastik.

Xenobot dapat digunakan untuk membersihkan sisa radioaktif, mengumpulkan mikroplastik di lautan, membawa ubat ke dalam tubuh manusia, atau pergi ke arteri manusia untuk mengikis plak.

Xenobot juga dapat membantu para penyelidik mempelajari lebih lanjut mengenai biologi sel – membuka pintu untuk kemajuan masa depan bagi kesihatan manusia dan kelanjutan usia.

(Sumber: Diolah daripada tulisan Jessie Yeung, CNN)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.