27 Jun 2021, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 18 Jun 2021 hingga 20 Jun 2021, Taman Buaya dan Rekreasi Melaka menganjurkan lawatan maya kepada para pengunjung yang berminat. Lawatan maya tersebut menggunakan aplikasi Google Meet dan Zoom. Lawatan maya yang dianjurkan adalah untuk mendapatkan dana pengurusan haiwan di taman tersebut. Ternyata, sambutan yang diterima daripada masyarakat amat memberangsangkan sejak program tersebut diumumkan dalam laman Facebook Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), zoo dan taman haiwan tidak lagi menerima kunjungan orang ramai. Hal ini menyebabkan dana pengurusan haiwan berkurangan hingga mengakibatkan haiwan-haiwan tersebut kekurangan gizi dan kelaparan.

Selain program lawatan maya, pihak pengurusan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka juga menganjurkan Program Adopsi Terbuka Haiwan. Program tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat yang berminat untuk membantu dana pengurusan haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Program lawatan maya diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sebanyak dua sesi. Setiap sesi mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Harga tiket lawatan maya ialah RM7.00 seorang. Dalam tempoh satu jam setengah tayangan video secara langsung, para peserta dapat mempelajari pelbagai ilmu berkaitan dengan haiwan. Selain buaya, haiwan lain yang terdapat di taman rekreasi tersebut antaranya termasuklah ular, rusa, merak, kura-kura, penyu, dan lain-lain.

Yang menariknya, peserta juga boleh melihat demonstrasi petugas taman rekreasi memberi buaya makan. Walaupun sekadar lawatan maya, tetapi kebanyakan peserta teruja dan berpuas hati kerana berpeluang melihat haiwan secara dekat untuk pertama kali. Peserta juga boleh bertanyakan apa-apa soalan kepada petugas taman rekreasi. Bagi mereka, lawatan tersebut seolah-olah mereka sedang menonton rancangan dokumentari di televisyen secara langsung, santai, mesra penonton, dan interaktif.

Zoo dan taman haiwan yang lain di Malaysia boleh mencontohi program tersebut untuk mendapatkan dana pengurusan haiwan. Hal ini demikian kerana sambutan daripada masyarakat sangat menggalakkan. Rata-rata ibu bapa merebut peluang keemasan menyertai lawatan maya tersebut untuk mengisi masa lapang anak-anak mereka dengan aktiviti yang berfaedah di samping mengurangkan kebosanan anak-anak mereka dalam tempoh PKP.

(Sumber: Facebook Taman Buaya & Rekreasi Melaka)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.