22 Jun 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maka berpesanlah orang tua-tua, “Patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan, dan patah dihubung hilang diganti” yang berupa kata-kata motivasi untuk sesiapa sahaja agar terus berusaha dengan tiada berputus harap, sekali gus sentiasa bersiap siaga untuk melakukan apa-apa juga perubahan demi mewajarkan serta meluhurkan keberadaan masing-masing.

Sesebuah organisasi bahasa dan persuratan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah lebih 60 tahun bergelut dalam pelbagai perubahan persekitaran ekonomi, politik dan perundangan, budaya dan sosial, demografi, teknologi, dan pendidikan yang cukup mencabar, harus melakukan perubahan sesuai dengan perkembangan semasa, khususnya yang berkaitan dengan perubahan persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi serta Dasar Digital Negara. Oleh hal yang demikian, DBP juga menyahut seruan kerajaan, dan tuntutan rakyat agar melaksanakan pendigitalan perkhidmatannya secara menyeluruh serta mendigitalkan berbagai-bagai produk penerbitannya agar dapat diakses dan dinikmati dengan mudah, pantas, cekap dan berkesan.

Langkah bijak dan komprehensif yang diambil oleh DBP adalah dengan membangunkan pelantarnya sendiri yang dikenali sebagai pelantar penerbitan digital DBP, dan yang nantinya dikenali dengan nama komersialnya, JendelaDBP. JendelaDBP yang merupakan pusat hentian setempat itu dibangunkan, antara lain atas pertimbangan dan kewajaran yang berikut:

  1. DBP harus menyerlahkan serta menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budayanya dalam bentuk digital sesuai dengan perkembangan semasa serta perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.
  2. Mempercepat dan memudahkan akses atau capaian kepada berbagai-bagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP dengan menggunakan pelbagai aplikasi digital yang ada.
  3. DBP mestilah mempunyai platform digitalnya sendiri untuk melaksanakan perkara 1 dan 2 di atas sesuai dengan taraf DBP sebagai agensi serta penerbit kerajaan yang terbesar dan berwibawa.
  4. Platform digital ini ialah kos efektif dan berupa pusat sehenti untuk semua produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP, sekali gus dapat diperluas fungsinya sebagai pusat untuk mengakses dan membeli semua produk DBP serta memberikan pelbagai faedah limpahan (overflow benefits) yang lain seperti caj muat turun, sumber hasil daripada iklan dan sebagainya.

JendelaDBP yang dibangunkan itu merangkumi lima struktur utama, iaitu:

  1. Sohor Kini;
  2. E-Majalah;
  3. Ujana;
  4. TV DBP; dan
  5. Radio DBP.

Secara lebih khusus pembangunan JendelaDBP adalah bertujuan untuk:

  • Memastikan kandungan digital dapat diterbitkan atau disiarkan dengan terancang.
  • Memastikan kandungan penerbitan dapat dimuat naik menerusi pelantar tersebut.
  • Memastikan kandungan yang diterbitkan dan disiarkan sesuai dan memenuhi keperluan khalayak.

Sohor Kini merupakan ruangan yang memaparkan pelbagai berita popular yang berkaitan dengan fungsi DBP terutamanya bahasa, sastera dan penerbitan. Selain berita, ruangan ini turut menyiarkan artikel tersohor atau termashyur mengikut kenaan bagi memancing minat khalayak untuk sentiasa melayari JendelaDBP. Beberapa berita dan artikel yang menjadi pilihan editor juga dipaparkan pada ruangan ini. Hal ini bermakna Sohor Kini dijangka menjadi wahana untuk menyiarkan dan memaparkan pelbagai berita, aktiviti dan sebagainya yang sebelum ini kurang mendapat perhatian daripada pelbagai agensi penyiaran di negara ini.

Ruangan “e-Majalah” memuatkan berita dan artikel yang bersifat terkini mengikut lapan kategori majalah, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, dan Tunas Cipta. Kandungan e-majalah yang diterbitkan merupakan kandungan baharu yang berbeza dengan kandungan majalah bercetak. Hal ini bagi memastikan berita dan artikel terkini dapat disebarluaskan secara cepat kepada khalayak.

Ruangan “Ujana” pula memaparkan produk penerbitan bercetak dan digital seperti e-buku dan i-buku (aplikasi) dalam berbagai-bagai bidang. Produk ini dijual melalui kaedah muat turun sebahagian atau semua kandungan atau langganan dalam format PDF, EPUB, APK, dan IPA.

Selain itu, para pendengar dan penonton di serata Malaysia, dan seantero dunia yang mendambakan aneka isu, berita dan maklumat tentang DBP, resensi buku, aktiviti bahasa, acara sastera dan sebagainya sudah pasti akan lebih mudah menikmatinya melalui pelantar ini tanpa perlu hadir secara fizikal. Segala maklumat itu dapat diakses di mana-mana sahaja mereka berada dengan mudah dan cepat, asalkan ada liputan Internetnya. Bagi mereka yang terlepas peluang mendengar Radio DBP dan menonton TV DBP, mereka boleh mendapatkannya melalui siaran ulangan pada pelantar tersebut.

Sementara itu, pelantar penerbitan digital DBP menjadi medium saluran pemasaran dan promosi pelbagai aktiviti dan produk terbitan DBP serta pihak luar. Melalui medium ini, DBP akan secara giat dapat memasarkan produk terbitannya dengan lebih mudah dan berkesan.

Sesungguhnya, pelantar penerbitan digital DBP merupakan satu daripada pelan transformasi yang dijangka akan membolehkan DBP menambah baik, mempelbagaikan dan mencekapkan sistem penyampaiannya. Oleh itu, pembangunan pelantar penerbitan digital DBP sudah pastinya akan melonjakkan nama DBP sebagai agensi kerajaan yang melangkah ke hadapan untuk menyediakan generasi kakitangan DBP yang fasih digital, sekali gus ikut serta memberikan sumbangan bermakna kepada usaha kerajaan dalam memperkasakan ekonomi digital negara.

Akhirulkalam, inisiatif dan usaha jitu DBP membangunkan pelantar penerbitan digitalnya ibarat kereta kencana yang membawa DBP ke arah dunia pendigitalan, dan secara tidak langsung menyumbang ke arah menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia lebih berwibawa yang dipacu oleh ilmu dan teknologi baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.