15 Jun 2021, 21:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peningkatan masalah kesihatan mental dan sakit mental, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana banyak kes masalah kesihatan mental dan sakit mental dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (TKMK) pada tahun 2019, kira-kira 15.9%  rakyat di negara ini didiagnosis hipertensi. Sebanyak 2.3% golongan dewasa mengalami kemurungan, manakala 7.9% golongan kanak kanak yang berumur antara lima tahun hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, terutamanya masalah berinteraksi dengan rakan sebaya.

Laporan TKMK sekitar tahun 2015 menunjukkan bahawa penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai penyakit kesihatan mental. Sumber TKMK (2019) melaporkan sejumlah 424 000 orang kanak kanak mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia. Pecahan prevalens kesihatan mental ini berasaskan domain utama, antaranya termasuklah masalah berinteraksi dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku, masalah emosi, dan hiperaktif. Ternyata, data ini amat membimbangkan semua pihak.

Terdapat beberapa faktor penyakit mental. Satu daripadanya berpunca daripada aspek fizikal individu. Sesetengah penyakit mental dikaitkan dengan ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, yang dinamakan pengutus saraf (neurotransmitter). Bahan kimia ini membolehkan sel-sel dalam otak saling berhubung. Apabila berlaku ketidakseimbangan dalam otak, maka sel-sel dalam otak tidak berfungsi.

Genetik merupakan antara faktor utama penyakit mental. Ahli keluarga pesakit mental cenderung mengalami penyakit yang sama. Faktor psikologi menyumbang kepada gangguan mental. Sebagai contohnya, pengabaian oleh keluarga pesakit dan kegagalan membina hubungan dengan masyarakat. Hal ini disebabkan oleh sama ada individu (pesakit) mungkin kurang berkeyakinan ataupun pesakit pernah melakukan kesilapan hingga tidak pernah dimaafkan oleh orang lain.

Sejak dahulu, penyelidikan dan teori psikologi hanya tertumpu pada fenomena psikopatologi, penyakit mental, organ dalam badan tidak berfungsi dengan baik, gangguan, dan tekanan yang dihadapi oleh seseorang. Walau bagaimanapun, penyelidikan dari aspek positif psikologi memberikan satu cadangan lain, yang dikenali sebagai Dual Continua Model of Mental Illness and Health.

Hal ini bermaksud kesihatan mental dan sakit mental mempunyai kesinambungan yang berbeza, dan bukannya mempunyai satu spektrum. Tidak mempunyai tekanan diri belum cukup untuk menentukan tahap kesihatan mental seseorang itu. Kesihatan mental didorong oleh ketiadaan unsur psikopatologi seperti depressi dan kerisauan. Oleh itu, psikologi semula jadi harus menjadi pertimbangan.

Kesihatan mental yang positif adalah dari pelbagai aspek, antaranya termasuklah perasaan yang gembira dan berpuas hati dengan kehidupan, kesemua organ dapat berfungsi dengan baik dan memenuhi cita rasa diri dan keadaan masyarakat sekeliling yang positif.

Sesetengah perkara yang berlaku dengan masyarakat sekeliling boleh merangsangkan penyakit berkaitan dengan emosi bagi individu yang berisiko. Sebagai contohnya, kematian atau penceraian dan keluarga yang mempunyai banyak masalah.

Berdasarkan konsep daripada falsafah Greek, keseronokan atau kegembiraan ialah perkara yang paling bernilai kepada seseorang. Hal ini demikian kerana perasaan seronok dan gembira akan menerbitkan kesan yang positif kepada seseorang dan sekali gus dapat menjauhi kesan yang negatif. Seseorang itu tidak perlu membandingkan dirinya dengan orang lain. Dalam persekitaran setiap manusia, pasti ada orang yang lebih beruntung. Belajarlah untuk menikmati hasil diri dan bandingkan keputusan pada hari ini dengan semalam.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2005, tiga komponen utama kesihatan mental ialah (1) kesejahteraan, (2) keberkesanan fungsi sebagai individu, dan (3) keberkesanan fungsi dalam masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa kajian dalam aspek psikologi and sosiologi dapat memberikan penjelasan tentang kesihatan mental atau kesejahteraan individu.

Konsep psikologi yang sihat muncul pada tahun 1990-an. Pada masa itu, para penyelidik memfokuskan kegembiraan dan emosi individu. Ahli psikologi positif menganggap aspek kesejahteraan sebagai eudaimonia, iaitu tanggapan keceriaan. Penyelidik pada masa ini, mendapati beberapa elemen yang membentuk psikologi yang positif. Sebagai contohnya, boleh menerima kenyataan diri sendiri. Sikap yang positif dan menerima diri seadanya pada masa lalu dan sekarang. Menerima keadaan diri adalah tidak mudah seperti membalikkan tapak tangan sendiri. Hal ini memerlukan masa yang panjang supaya dapat mengenali diri yang sebenar.

Elemen yang seterusnya ialah matlamat kehidupan seseorang. Setiap manusia mesti mempunyai matlamat dan tujuan yang boleh memberikan maksud dalam kehidupan hariannya. Mencapai matlamat sering kali menjadi lebih sukar. Oleh itu, seseorang itu hendaklah menyusun matlamat hidupnya satu demi satu dan tidak terburu-buru supaya cara kehidupan yang diinginkan dapat dikecapi.

Hubungan yang baik dengan masyarakat juga merupakan elemen yang dapat membentuk psikologi yang baik. Hubungan masyarakat merupakan upaya komunikasi menyeluruh untuk mempengaruhi persepsi keyakinan dan sikap berbagai-bagai kelompok terhadap usaha tersebut.

Satu perkembangan utama dalam bidang psikologi ialah kemunculan psikologi yang positif yang didefinisikan oleh seorang pengasasnya, iaitu “Kajian ilmiah tentang apa-apa yang menjadikan kehidupan lebih berharga untuk dijalani”. Menurut pakar psikoterapi dan kaunseling (kemurungan dan kebimbangan) Access Counselling Services, Dr. Meriam Omar Din, “Masalah kesihatan mental dan sakit mental banyak berpunca dari dalam rumah apabila faktor persekitaran anak-anak yang mempunyai pengalaman pahit dialaminya sewaktu kecil (kanak-kanak)”.  Hal ini akan memberikan kesan jangka panjang yang serius hingga kanak-kanak itu dewasa. Dan, faktor ini berkemungkinan menjadi penyumbang kepada data NHMS seperti yang dilaporkan.

Bidang psikologi berusaha untuk memperbaik masalah kesihatan mental dan sakit mental dengan memasukkan alat dan kaedah sains kontemporari untuk tugas menyelidik kebahagiaan dan kesejahteraan individu. Namun begitu, usaha untuk mempromosikan psikologi positif mendapat kritikan mengenai konsepnya dan kaedahnya.

Psikologi positif juga dikritik kerana bidang ini menjadi alat kawalan sosial dan hanya menumpukan perhatian pada masalah serta penyelesaian tahap individu dan bukannya pada kekuatan struktur yang dapat membentuk kehidupan manusia dengan lebih kuat. Perbezaan budaya, penilaian yang subjektif dan teori profesional mempengaruhi takrifan kesihatan mental.

Kesihatan mental merupakan kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif. Kesihatan mental ialah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesihatan mental merangkumi kesejahteraan subjektif; keberkesanan diri; autonomi; kecekapan kebergantungan antara generasi, dan penghakikian diri atau potensi intelektual kendiri dan emosi antara individu dengan individu lain.

Aspek kesihatan mental yang positif merujuk individu. Untuk menambahkan keyakinan diri, individu itu hendaklah yakin terhadap keadaan sosial disekeliling. Oleh itu, penilaian menyeluruh terhadap kesejahteraan mesti merangkumi kesejahteraan sosial.

Menurut ahli sosiologi yang berpengaruh, iaitu Corey Keyes dari Emory University, terdapat beberapa elemen kesejahteraan sosial. Satu daripadanya ialah hubungan dan perpaduan di dalam satu kumpulan. Dengan cara ini, elemen kesejahteraan dapat memberikan maksud tentang perkara yang akan berlaku dengan masyarakat sekeliling.

Penerimaan sosial melibatkan juga aspek tingkah laku sosial. Apabila individu itu mempunyai tingkah laku yang baik, maka individu itu dapat mempengaruhi masyarakat supaya senang untuk mempercayainya dan bergaul dengannya. Penerimaan sosial boleh mempengaruhi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Penerimaan sosial juga boleh mempengaruhi individu daripada semua peringkat umur dengan kecacatan mental. Hal ini demikian kerana penerimaan sosial menentukan banyak keputusan yang dibuat dalam kehidupan.

Kesimpulannya, seseorang itu mestilah menunjukkan tingkah laku dari segi emosi, psikologi dan sosial yang baik supaya dia dianggap sihat sepenuhnya. Aspek kesihatan mental positif yang baharu ini mesti dipertimbangkan supaya bersamaan dengan penyakit mental tradisional.

Implikasi model baharu ini memberikan kesan yang sama seperti menilai prospek masa depan kewangan individu yang mesti merangkumi liabilitinya dan asetnya. Begitu juga dengan percubaan kita untuk meramalkan hasil kesihatan masa depan yang merangkumi ukuran penyakit mental dan kesihatan mental yang positif.

Masyarakat perlu bersama-sama memerangi penyakit mental untuk melindungi dan meningkatkan kesihatan mental individu. Masalah mental boleh dirawat sekiranya setiap individu memainkan peranan dengan sentiasa peka terhadap keadaan pesakit. Hal ini penting sebagai satu usaha untuk mendapatkan rawatan awal. Setiap keluarga perlu sentiasa peka terhadap kemurungan anak-anak. Selain itu, setiap keluarga juga perlu merujuk pakar psikiatri jika berlaku perkara yang tidak normal terhadap tingkah laku atau pemikiran anak anak.

Dr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim ialah Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau, Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.