15 Jun 2021, 13:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kes demam denggi pada tahun ini menunjukkan trend penurunan sebanyak 75%. Jumlah kematian juga berkurangan sebanyak 91% berbanding dengan tahun 2020.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Dr. Adham Baba, dari Januari hingga 12 Jun 2021, kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 12 188, dengan lapan kematian akibat komplikasi demam denggi. Pada tahun 2020, kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 48 584, dengan 84 kematian.

Tambah beliau, usaha memerangi ancaman wabak demam denggi perlu diteruskan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19. Oleh itu, masyarakat dinasihatkan agar membendung dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara konsisten. KKM mengharapkan usaha menangani denggi diteruskan agar rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang bebas dan selamat.

Hari Denggi ASEAN yang disambut pada 15 Jun setiap tahun bertujuan mewujudkan platform advokasi pelbagai pihak, termasuklah masyarakat sendiri untuk meneruskan usaha membanteras denggi secara berterusan dan bersepadu.

Tema sambutan Hari Denggi ASEAN pada peringkat kebangsaan ialah “10 Minit Hapuskan Aedes”. Berdasarkan tema ini, masyarakat diseru untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit melakukan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes pada setiap minggu di premis masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.