11 Jun 2021, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sindrom pasca-COVID ialah keadaan bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih. Gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh individu.

Berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melibatkan 1004 orang pesakit kategori 4 dan kategori 5 yang menerima rawatan susulan, didapati sebanyak 66% daripada pesakit ini mengalami sindrom pasca-COVID.

Kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan sebarang aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan berasa gelisah merupakan simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19.

(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Hingga kini, rawatan yang diberi adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan oleh pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat. Pakar dalam bidang ini akan dirujuk bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum. Kajian klinikal akan terus dijalankan untuk mengenal pasti kesan sindrom pasca-COVID dan akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

Janji temu rawatan susulan diberi kepada para pesakit COVID-19 yang dibenarkan discaj dari hospital bagi memastikan mereka sembuh sepenuhnya. Bagi bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Tindakan ini sangat penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka masa panjang.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Selain itu, orang ramai juga perlu mengelakkan kawasan yang sesak dan sempit, dan bersembang dengan jarak yang dekat. Amalkan membasuh tangan dengan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala atau keluar dari rumah, dan jangan bersentuhan atau bersalaman dengan orang lain. Patuhilah Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.