Oleh Ritah Yahaya
7 Jun 2021, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu ujian klinikal, iaitu Randomised Evaluation of COVID-19 Therapy (RECOVERY) menunjukkan sejenis ubat steroid, Dexamethasone dapat membantu mengurangkan kadar kematian jika diberi kepada pesakit pada tahap kritikal yakni ketika memerlukan bantuan oksigen atau semasa memerlukan mesin pernafasan. Namun begitu, untuk pengurusan kes COVID-19 yang ringan dan sederhana, masih belum ada rawatan yang khusus, baik untuk mencegah penyakit daripada melarat ataupun untuk menghentikan penyebaran virus.

(Sumber gambar: Bernama.com)

Malaysia menyertai kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu COVID-19 Solidarity Trial for COVID-19 Treatments (SOLIDARITY). Setakat ini, kajian ini masih belum mendapat bukti yang konklusif penggunaan ubat-ubatan seperti Remdesivir, Hydroxychloroquine, Interferon, dan Lopinavir bagi mengurangkan kematian. Banyak pihak yang mencadangkan penggunaan ubat Ivermectin.

Ivermectin ialah ubat anti-parasit yang diluluskan oleh The United States Food and Drug Administration (FDA) dan kebiasaannya digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuklah onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. Penggunaan “off-label” Ivermectin untuk COVID-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan keputusan yang baik. Namun begitu, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk COVID-19. FDA juga tidak meluluskan penggunaan Ivermectin dalam merawat atau mencegah COVID-19 dalam kalangan manusia.

Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk “Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19” (3 Mei 2021). Pertubuhan Kesihatan Sedunia setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, yang pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan. Begitu juga, European Medicines Agency (EMA) telah mengambil pendekatan yang sama, iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah COVID-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk “EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials” (22 Mac 2021).

Mengikut saranan yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), KKM telah memulakan ujian klinikal (Randomised Control Trial) di 12 buah hospital KKM bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin berbanding dengan rawatan standard yang diberi kepada 500 orang pesakit COVID-19 kategori 2 dan kategori 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas.

Ujian ini bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit COVID-19 daripada menjadi lebih serius (kategori 4 dan kategori 5) dan mengurangkan kematian. Kajian ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (Medical Research and Ethics Committee – MREC), KKM pada 25 Mei 2021. Kajian telah bermula pada 31 Mei 2021, dan kini lapan orang pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian ini.

Untuk kenyataan penuh, sila layari laman web Ministry of Health Malaysia starts Ivermectin trial for high risk COVID-19 patients (I-TECH Study) https://kpkesihatan.com/…/ministry-of-health-malaysia…/

(Berita ini disusun daripada sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia pada 5 Jun 2021).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.